Pingat perak yang diraih oleh Vietnam daripada atlet tae kwon donya, Tran Hieu Ngan dalam Sukan Olimpik Sydney pada tahun 2000 merupakan satu-satunya pingat Sukan Olimpik yang diperoleh Vietnam sejak menyertai temasya sukan terbesar dunia itu pada tahun 1980. Utusan Khas Vietnam ke China, Nguyen Vinh Quang semasa diwawancara oleh wartawan CRI baru-baru ini menyatakan bahawa sebagai negara yang berjiran dengan China, Vietnam memberikan perhatian besar terhadap Sukan Olimpik Beijing. Tambahan pula, Sukan Olimpik kali ini sebagai peluang baik bagi kontinjen sukan negara itu meraih pingat.
Kedutaan Besar Vietnam di China terletak di Jalan Guanghuang, Daerah Chaoyang Beijing, lokasi yang tidak begitu jauh dengan Taman Ritan. Pada sebelah petang setiap hari, Nguyen Vinh Quang selalu meluangkan masa berjalan-jalan di taman tersebut untuk beriadah. Walaupun Vietnam bukan negara gergasi dalam bidang sukan, namun rakyat negara itu amat meminati aktiviti sukan, terutamanya bola sepak. Nguyen Vinh Quang memberitahu wartawan bahawa ketika Kejohanan Bolak Sepak Piala Eropah diadakan baru-baru ini, ramai kakitangan kedutaan besar telah menonton siaran TV terhadap semua pertandingan, walaupun masa pertandingan itu diadakan pada larut malam. Nguyen Vinh Quang juga menaruh harapan besar kepada kontijen sukan Vietnam dalam Sukan Olimpik kali ini. Kata beliau: "Atlet Vietnam yang menyertai Sukan Olimpik Beijing mencatat jumlah paling besar dalam sejarah. Kira-kira 20 orang atlet Vietnam akan bertanding dalam Sukan Olimpik kali ini. Kami lebih berkeyakinan bahawa mereka akan bertanding dengan bersungguh-sungguh dan menyemarakkan semangat Sukan Olimpik. Kami menaruh harapan supaya dapat meraih pingat dalam acara angkat berat, tae kwon do dan menembak."
Kerajaan Vietnam memberikan perhatian besar kepada penyertaan negara dalam Sukan Olimpik Beijing. Nguyen Vinh Quang berkata: "Selepas Sukan Olimpik Athens pada tahun 2004, Vietnam telah menetapkan rancangan latihan atlet yang menyasarkan Sukan Olimpik Beijing dan menghantar atlet ke seberang laut untuk mengikuti latihan, terutama ke China. Selain itu, kerajaan juga memberikan perhatian kepada para atlet dan jurulatih dan memberi layanan utama kepada mereka."
Menurut Utusan Khas itu, hubungan persahabatan dan kerjasama antara Vietnam dengan China juga tercermin dalam sukan. Kedua-dua negara saling menghantar delegasi sukan untuk mengadakan interaksi pada setiap tahun. China juga banyak memberi bantuan kepada Vietnam dalam melatih atlet dan tenaga profesional dalam beberapa acara sukan. Sejak tahun 2002, Vietnam setiap tahun menghantar lebih 100 orang atlet ke China untuk mengikuti latihan dalam acara pingpong, badminton, bola sepak, bola tampar, olahraga, angkat berat dan wushu. Selain itu, China juga menyediakan bantuan kepada Vietnam dalam pembinaan infrastruktur sukan, Syarikat Barang Kegunaan Sukan Li Ning dari China juga memberikan tajaan kepada atlet Vietnam untuk menyertai Sukan Asia dan Sukan Asia Timur.
Nguyen Vinh Quang berkata, kerjasama itu menjadikan atlet Vietnam lebih berkeyakinan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Beijing.
Kata beliau: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada China yang sentiasa memberi bantuan dan kerjasama rapat dengan kami dalam bidang sukan. Saya yakin bahawa rakyat China pasti akan memberikan sorakan penuh semangat kepada atlet Vietnam. Persahabatan antara kedua-dua negara ini akan menjadikan atlet Vietnam bertanding dengan penuh semangat dalam Sukan Olimpik Beijing."
Menurut Nguyen Vinh Quang, China merupakan negara jiran dan sahabat baik Vietnam. Kebudayaan kedua-dua negara juga mempunyai banyak persamaan. Perkara ini membolehkan Atlet Vietnam lebih mudah untuk menyesuaikan diri ketika bertanding dalam Sukan Olimpik Beijing.
Pada 29 April lalu, obor Sukan Olimpik pertama kali dibawa ke Vietnam, membolehkan rakyat negara itu menghayati terlebih dahulu Sukan Olimpik Beijing. Menurut Nguyen Vinh Quang perkara ini mempunyai erti yang amat penting bagi Vietnam."
"Ini merupakan kali pertama obor Sukan Olimpik dibawa ke negara kami. Obor itu melambangkan semangat keamanan, persepaduan dan persahabatan. Ia juga memperlihatkan rasa persahabatan dan sokongan rakyat Vietnam kepada rakyat China dan Sukan Olimpik Beijing."
Menurut Utusan Khas itu, Sukan Olimpik bukan sahaja dimiliki oleh beberapa negara gergasi dalam bidang sukan, tetapi juga dimiliki oleh semua negara yang mempunyai impian kepada temasya sukan terbesar itu. Slogan Sukan Olimpik Beijing—"Satu Dunia, Satu Impian" itu juga selaras dengan kefahaman beliau terhadap semangat Olimpik.
Kata beliau: "Saya sentiasa mengimpikan supaya umat manusia di seluruh dunia dapat hidup bersama secara damai dan bersahabat. Slogan Sukan Olimpik Beijing—"Satu Dunia, Satu Impian" memperlihatkan semangat asal Olimpik dan impian semua umat manusia."
|