Guilin, destinasi pelancongan yang terkenal di Guangxi, China.
Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China giat melakukan kerjasama serantau dalam bidang pelancongan, terutamanya dengan ASEAN, negara-negara Subkawasan Sungai Mekong Besar dan Zon Ekonomi Pan Delta Sungai Mutiara. Kerjasama pelancongan dengan negara ASEAN adalah yang paling diutamakan.
Lima tahun yang lalu, perkataan "ASEAN" dan "Teluk Beibu" masih kurang dikenali oleh penduduk China. Antara destinasi pelancongan di rantau ASEAN pula, penduduk China hanya mengetahui program pelancongan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan ke Singapura, Malaysia dan Thailand serta kawasan sempadan China-Vietnam. Pelancong dari negara ASEAN yang berkunjung ke Guangxi pada masa itu kebanyakannya mengadakan lawatan ke destinasi pelancongan di Guilin dan bandar Nanning. Sejak Ekspo China-ASEAN yang julung-julung kalinya diadakan di Nanning pada tahun 2004, kerjasama antara Guangxi dengan negara ASEAN meningkat dengan pesat. Perkara ini memberi kesan secara langsung kepada kerjasama dalam sektor pelancongan kedua-dua pihak. Pada tahun 2007, jumlah pelancong dari negara ASEAN yang berkunjung ke Guangxi telah mencatat 460 ribu orang. Daripada jumlah itu, pelancong dari Laos, Kemboja, Myanmar dan Brunei semakin bertambah ramai. Kerjasama pelancongan antara Guangxi dengan ASEAN terutamanya tertumpu kepada tiga aspek.
Pertama, kedua-dua pihak giat melakukan kerjasama dalam penyelidikan teori yang berkaitan dengan industri pelancongan. Menjelang penganjuran Ekspo China-ASEAN Pertama pada tahun 2004, Jabatan Pentadbiran Pelancongan Guangxi telah menganjurkan "Forum Kerjasama Pelancongan Antarabangsa China-ASEAN" untuk membentuk satu platform bagi merancakkan kerjasama pelancongan antara kedua-dua pihak. Pegawai badan pelancongan dan pakar dari China dan pelbagai negara anggota ASEAN dalam forum itu bersama-sama mengadakan penyelidikan dan perbincangan secara mendalam tentang usaha kerjasama pelancongan dalam pelbagai bidang, seperti pengangkutan, maklumat, usaha promosi, tenaga profesional serta kerjasama antara badan kerajaan dan syarikat pelancongan. "Forum Kerjasama Pelancongan Antarabangsa China-ASEAN" berperanan positif bagi mendorong kerjasama pelancongan antara Guangxi dengan negara ASEAN. Selepas itu, Badan pelancongan Guangxi kemudian berusaha memanfaatkan Ekspo China-ASEAN yang diadakan setahun sekali di Nanning bagi melanjutkan lagi penyelidikan teori yang berkait dengan kerjasama pelancongan antara kedua-dua pihak.
Kedua, Guangxi dan ASEAN aktif menjalankan kerjasama dalam usaha promosi pelancongan. Kini, negara-negara ASEAN merupakan destinasi pelancongan yang disukai oleh penduduk Guangxi dan juga sebagai tempat menghantar pelancong yang penting bagi Guangxi. Bagi mempromosi destinasi pelancongan di Guangxi kepada penduduk di negara anggota ASEAN, kerajaan Guangxi telah mengadakan aktiviti promosi secara besar-besaran sebanyak dua kali dalam tempoh tahun 2004 hingga tahun 2007 di beberapa negara ASEAN, seperti Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Vietnam. Sehingga kini, Jabatan Pentadbiran Pelancongan Guangxi telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan 17 jabatan sektor pelancongan negara ASEAN. Di samping itu, badan pelancongan negara-negara ASEAN juga giat melakukan usaha promosi di Guangxi bagi memperkenalkan destinasi pelancongan mereka. Selain itu, mereka juga giat memanfaatkan Ekspo China-ASEAN untuk mempamerkan sumber pelancongan mereka dan mempromosi program pelancongan yang istimewa.
Ketiga, kedua-dua pihak juga aktif melakukan kerjasama pengangkutan bagi merancakkan lagi kerjasama pelancongan. Sejak penganjuran Ekspo China-ASEAN, laluan penerbangan yang menghubungkan Guangxi dengan negara ASEAN telah banyak ditambah dan hampir meliputi semua negara ASEAN. Sekarang, lapangan terbang Nanning dan Guilin telah mewujudkan laluan penerbangan ke bandar-bandar utama ASEAN, seperti Kuala Lumpur, Bangkok, Phnom Phen, Angkor Wat, Jakarta, Pulau Bali, Manila, Vientieane dan Singapura. Di samping itu, laluan kereta api khas untuk pelancongan telah diwujudkan dari bandar Guilin dan Nanning ke Hanoi dan Ha Long Bay, Vietnam. Malahan, laluan jalan raya dan perkapalan yang menghubungkan Guangxi dengan beberapa destinasi pelancongan di Vietnam juga telah dibuka secara beransur-ansur bagi memudahkan kegiatan pelancongan dilakukan antara kedua-dua pihak. Selain itu, Guangxi dan pelbagai negara ASEAN juga giat menjalankan kerjasama dalam menawarkan program pelancongan, mengawal pasaran pelancongan, menangani keadaan kecemasan dan melatih tenaga profesional dalam bidang pelancongan.
|