Ekspo China-ASEAN Ke-5 akan berlangsung di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China dari 22 hingga 25 Oktober nanti. Naib Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng menyatakan bahawa ekspo ini akan terus memainkan peranan penting dalam mendorong kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN serta pertumbuhan ekonomi serantau.
Ekspo yang diselenggarakan oleh 10 buah negara anggota ASEAN dan Urus Setia ASEAN ini merupakan pameran antarabangsa berkait dengan ekonomi dan perdagangan. Ia dianjurkan dengan jayanya sebanyak 4 kali sejak tahun 2004. Pegawai dari pihak berkuasa wilayah Guangxi, Encik Li Jinzao menyatakan bahawa jumlah gerai pameran dalam ekspo kali ini melebihi 1,100 buah, dan mencatat rekod tertinggi berbanding masa-masa yang lalu. Kata beliau: "Terdapat 6 buah negara yang menggunakan dewan pamerannya sendiri dalam ekspo ini, iaitu Malaysia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Pada keseluruhannya, jumlah gerai pameran meningkat dengan ketara berbanding 4 kali ekspo yang dulu."
Menurut beliau, produk-produk seperti alat-alat pemesinan, barangan elektronik, bahan binaan dan hiasan, barangan kegunaan harian, hasil pertanian dan bahan galian akan dipamerkan dalam ekspo ini. Encik Li menyatakan bahawa kesemua barangan yang dipamerkan itu mempunyai nilai perdagangan yang agak tinggi, dan urusan pameran kali ini berskala lebih besar berbanding dengan ekspo sebelum ini.
Sempena ekspo ini juga akan berlangsung siri forum dan aktiviti untuk meningkatkan pertukaran antara China dengan negara-negara ASEAN dalam pelbagai bidang, misalnya, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN Ke-5, Minggu Telekomunikasi China-ASEAN Ke-3 dan Pesta Kesenian Lagu Rakyat Antarabangsa Nanning.
China dan ASEAN memulakan usaha membina zon perdagangan bebas sejak tahun 2002, dan giat terus mendorong proses ini. Sekarang ini, kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan yang berkaitan dan berharap dapat mencapai kemajuan. Naib Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng berpendapat bahawa ekspo kali ini bukan sahaja akan mendorong usaha membina zon perdagangan bebas, bahkan juga akan memainkan peranan yang lebih penting dalam peningkatan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN. Menurut beliau: "Eskpo ini pasti akan menggalakkan usaha membina zon perdagangan bebas. China dan negara-negara ASEAN ditawarkan satu peluang untuk menangani cabaran ekonomi."
Kini, ASEAN merupakan rakan dagang yang keempat terbesar bagi China. Menurut Gao Hucheng, pada setengah tahun pertama tahun ini, nilai perdagangan dua hala mencatat angka 110 bilion dolar Amerika, meningkat 26% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Kadar pertumbuhan ini jauh melebihi nilai perdagangan antara China dengan A.S. dan Jepun dalam tempoh yang sama. Beliau meramalkan bahawa ASEAN mungkin akan menjadi rakan dagang yang ketiga terbesar bagi China pada suatu hari nanti.
Sekretariat Ekspo China-ASEAN memaklumkan wartawan semalam, Ekspo China-ASEAN Ke-5 akan mengambil lebih 1200 orang sukarelawan bagi membantu pelaksanaan ekspo. Daripada jumlah itu, lebih 700 orang sukarelawan profesional dan lebih 70 orang sukarelawan dari negara-negara ASEAN.
Ketua Jabatan Propaganda Suruhanjaya Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi Liga Pemuda China, Zhou Yuneng memaklumkan, pihak penganjur akan memperbaiki perkhidamatan sukarelawan supaya perkhidmatan sukarelawan memenuhi standard antarabangsa.
|