v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Integrasi ASEAN Dorong Kerjasama China-ASEAN

2008-10-10 18:57:33 CRI

Negara anggota ASEAN sedang giat berusaha untuk mendorong integrasi antara satu sama lain dan merealisasikan pelbagai matlamat yang disasarkan dalam "Pelan Biru Komuniti Ekonomi ASEAN". Menurut Ketua Jabatan Pengkajian Asia Tenggara Institut Hubungan Antarabangsa Moden China, Zhai Kun bahawa ASEAN yang bersifat semakin bersepadu akan menuju ke arah pertubuhan serantau yang lebih damai, stabil dan makmur. Perkara itu juga dianggap akan menyediakan peluang baru kepada usaha kerjasama China-ASEAN.

ASEAN merancang untuk merealisasikan matlamat komuniti ekonominya pada tahun 2015 berdasarkan "Pelan Biru Komuniti Ekonomi ASEAN" yang ditandatangani oleh negara anggota. Pelan biru itu telah menggariskan empat perkara yang merupakan tonggak bagi menjayakan komuniti ekonomi ASEAN iaitu pasaran dan pangkalan pengeluaran yang bersepadu, zon ekonomi yang berdaya saing tinggi, perkembangan ekonomi yang seimbang dan selaras dengan piawaian antarabangsa dalam bidang ekonomi.

Seiring dengan proses integrasi dan peningkatan kekuatan ASEAN, kerjasama antara China dengan ASEAN juga telah mencapai kemajuan yang amat besar, terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Kini, ASEAN telah berkembang menjadi pertubuhan yang kekuatannya semakin meningkat di rantau ini dan dengan 10 negara anggota, berbanding dengan hanya 5 buah semasa ditubuhkannya pada tahun 1967. China mulai giat berusaha meningkatkan hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara itu sejak tahun 1990-an. Kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak semakin dipergiatkan. Sejak usaha penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN diadakan pada tahun 2001, dalam tempoh 6 tahun sahaja iaitu pada tahun 2007, jumlah perdagangan antara kedua-duanya mencecah 200 bilion dolar Amerika. Ini sekali gus mencapai matlamat perdagangan 3 tahun lebih awal daripada yang ditetapkan oleh pemimpin kedua-dua pihak.

Kini, perdagangan China-ASEAN terus mengekalkan pertumbuhan yang pesat. Untuk enam bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala mencatat 115 bilion 790 juta dolar Amerika, meningkat 25.8% berbanding dengan masa yang sama tahun lalu. Berdasarkan statistik, jumlah perdagangan China-ASEAN telah meningkat kepada 202.5 bilion dolar Amerika pada tahun 2007 daripada hanya 8.4 bilion dolar Amerika pada tahun 1991, iaitu meningkat 23 kali ganda. Sekarang, China dan ASEAN menjadi rakan dagang keempat terbesar bagi satu sama lain. Menurut pakar, ASEAN dijangka menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi China pada tahun 2009 dan jumlah perdagangan dua hala akan melebihi jumlah perdagangan antara China dengan Jepun. Dengan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN menjelang tahun 2010, ASEAN mungkin akan mengatasi A.S. dan menjadi rakan dagang kedua terbesar bagi China pada tahun 2015, di belakang Kesatuan Eropah.

Perkembangan hubungan China-ASEAN dianggap sebagai contoh yang baik bagi hubungan antarabangsa ke arah jalinan persahabatan, hidup bersama secara harmoni dan merealisasikan pembangunan bersama. Slogan "10+1>11" yang dilaungkan oleh China dan negara anggota ASEAN turut menjadi kenyataan. Hubungan kerjasama China-ASEAN dianggap tidak mampu meningkat dengan begitu pesat tanpa peningkatan kekuatan keseluruhan ASEAN. Ini kerana meningkatnya kemampuan ASEAN dalam menyelesaikan masalah sendiri amat penting bagi memastikan kelancaran penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan berfaedah bagi mempergiat kerjasama dengan China dalam bidang yang lebih luas.

Penubuhan kawasan perdagangan bebas merupakan salah satu usaha penting dalam kerjasama kedua-dua pihak sejak beberapa tahun yang lalu. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ini melibatkan tiga perkara utama iaitu perdagangan kargo, perdagangan perkhidmatan dan pelaburan. Kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian mengenai perdagangan kargo dan perdagangan perkhidmatan pada tahun 2004 dan 2007. Dalam Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN Ke-40 baru-baru ini, negara anggota ASEAN telah memberikan perhatian besar terhadap perjanjian pelaburan dengan China bagi tujuan penubuhan kawasan perdagangan bebas. Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan melahirkan harapan supaya perjanjian tersebut dapat ditandatangani dengan segera bagi meningkatkan taraf kerjasama pelaburan kedua-dua pihak. Menteri Luar China, Yang Jiechi sebelum itu juga menyatakan bahawa China bersedia berusaha mendorong penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas tersebut dan berharap dapat menandatangani perjanjian pelaburan berkenaan menjelang Sidang Kemuncak China-ASEAN pada bulan Disember tahun ini.

Pemimpin-pemimpin negara ASEAN memandang pembangunan China sebagai peluang besar kepada pertubuhan serantau itu. Seiring perkembangan pesat ekonomi China dan proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas tersebut, pemimpin dan usahawan dari negara ASEAN menyedari bahawa terdapat potensi yang besar dan peluang perniagaan yang banyak dalam kerjasama China-ASEAN.

Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo berkata, China merupakan negara yang pertumbuhan ekonominya paling pesat di dunia beberapa tahun lalu dan memainkan peranan bersifat strategik dalam menjamin kestabilan dan perkembangan rantau Asia-Pasifik. ASEAN dan China menyelesaikan pelbagai masalah dan mengukuhkan hubungan antara satu sama lain berdasarkan prinsip saling mengormati dan saling menguntungkan. Menurut beliau, menerusi kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi dan perdagangan, ASEAN dapat mengatasi masalah bergantungan terhadap pasaran Eropah dan A.S. yang keterlaluan. Beliau memberi contoh bahawa syarikat pengeluar produk elektronik Filipina mulai menumpukan perhatian kepada pasaran China sejak A.S. mengurangkan jumlah import barangan tersebut dari negara itu beberapa tahun lalu. Kini, China telah menjadi pasaran eksport yang paling besar bagi barangan elektronik Filipina.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung juga menyatakan bahawa kekuatan dan kestabilan China akan memberikan peluang besar kepada perkembangan ekonomi negara anggota ASEAN. Ia juga berfaedah bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau, malah seluruh dunia.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |