Sidang kemuncak peringatan ulang tahun ke-15 penjalinan hubungan dialog China-ASEAN akan diadakan di Bandar Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China pada 30 Oktober ini. Sempena sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menerima wawancara media massa China. Beliau menegaskan bahawa China merupakan sahabat karib dan bukan ancaman bagi ASEAN.
Pada Julai 1991, atas undangan Mantan Menteri Luar Malaysia merangkap Pengerusi Suruhanjaya Eksekutif ASEAN, Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Menteri Luar China Qian Qichen telah menghadiri upacara perasmian Sidang Menteri Luar ASEAN ke-24. Lawatan Qian Qichen tersebut merupakan komunikasi rasmi buat pertama kali antara China dengan ASEAN. Semasa mengenangkan kembali pristiwa tersebut, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, "Bermula pada waktu itu, hubungan antara China dengan ASEAN berkembang pesat. China semakin aktif menyertai aktiviti ASEAN. China telah menjadi negara rakan dialog bagi ASEAN pada masa sekarang dan secara aktif menyertai 10+3 dalam Forum Rantau ASEAN. China telah menjadi sahabat yang karib bagi ASEAN."
Semasa ASEAN dilanda krisis kewangan pada tahun 1997, China mengekalkan nilai RMB, tindakan tersebut telah memberi sumbangan besar bagi kestabilan pasaran kewangan serantau. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, "China sentiasa berusaha mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan ASEAN dan memberi sokongan besar kepada ASEAN. ASEAN mengucapkan terima kasih kepada China atas sokongan tersebut. Semasa Asia Tenggara dilanda krisis kewangan, China mengekalkan nilai RMB. Tindakan China tersebut telah menyediakan bantuan bagi ASEAN untuk mengatasi krisis kewangan, ASEAN tidak akan melupakan jasa China tersebut."
Semasa menyentuh tentang perkembangan hubungan Malaysia-China, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, "Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan China sangat berdinamik pada masa sekarang, jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak meningkat secara besar-besaran. Serentak dengan itu, jumlah pelaburan antara kedua-dua pihak turut meningkat. Malaysia dan China telah menubuhkan persatuan persahabatan antara satu sama lain, tindakan tersebut akan meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak."
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Malaysia tidak bersetuju tentang "teori ancaman China". Beliau yakin bahawa pembangunan China berfaedah bagi kestabilan serantau. Beliau berkata, "Hubungan antara Malaysia dengan China amat baik. Malaysia berharap supaya meningkatkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang. Malaysia tidak bersetuju tentang "teori ancaman China" malah mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang. Perkembangan ekonomi China bermanfaat bagi Malaysia serta kestabilan di rantau Asia Tenggara."
Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin bahawa China akan memainkan peranan yang lebih positif di rantau Asia-pasifik malah di arena antarabangsa. Beliau berkata, "China akan memainkan peranan yang semakin penting di rantau Asia-Pasifik. China telah memainkan peranan penting dalam penyelesaian masalah nuklear Semenanjung Korea. Sebagai salah satu anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China aktif memainkan peranannya di arena antarabangsa dan mengemukakan pandangannya berdasarkan kepentingan negara membangun."
|