Tahun ini merupakan ulang tahun ke-15 penjalinan hubungan rakan dialog China-ASEAN. Kedua-dua pihak telah mencapai kejayaan yang amat besar dalam bidang politik, ekonomi, keselamatan dan lain-lain. Ketua Pengarah Bahagian ASEAN Kementerian Luar Thailand, Encik Nopadol Gunavibool ketika diwawancara oleh wartawan CRI baru-baru ini telah memberi penilaian tinggi atas perkembangan hubungan dialog China-ASEAN. Beliau berkata: "Hubungan ASEAN-China merupakan contoh dalam perkembangan hubungan antara ASEAN dengan rakan dialognya kerana ia bukan sahaja meliputi bidang politik, ekonomi dan keselamtan, tetapi juga sosial dan kebudayaan. Kini, hubungan kerjasama ASEAN-China telah berkembang secara meluas dan meliputi lebih daripada 10 bidang, seperti pertanian, komunikasi maklumat, pendidikan, penerokaan sumber manusia, pelaburan, pembangunan di kawasan aliran Sungai Mekong, pengangkutan, sumber tenaga, kebudayaan, pelancongan, kesihatan awam dan lain-lain."
Encik Nopadol Gunavibool berpendapat bahawa kini kerjasama ASEAN-China telah meningkat kepada taraf rakan kerjasama strategik dan bukan terhad kepada pelaksanaan pelbagai projek kerjasama sahaja. Di samping itu, kedua-dua pihak juga telah berjaya meningkatkan persefahaman melalui dialog yang diadakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Negara-negara ASEAN tetap menganggap China sebagai negara yang berikhlas dan berazam untuk memelihara keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Encik Nopadol Gunavibool berkata: "ASEAN-China telah bersama-sama mengatasi pelbagai krisis dan cabaran dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini. China telah memainkan peranan yang amat besar dalam membantu Thailand dan pelbagai negara ASEAN yang lain bagi mengatasi krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997. Di samping itu, kerjasama berefisienan yang dijalankan antara ASEAN dengan China telah dijalankan secara berkesan bagi mencegah penularan wabak SARS dan penyakit selesema burung serta mengurangkan kesan negatif yang diakibatkannya kepada ASEAN dan China. China merupakan negara pertama yang memberikan bantuan kepada Thailand dan pelbagai negara ASEAN yang mengalami bencana tsunami pada dua tahun lalu."
Nopadol Gunavibool juga menegaskan bahawa kerajaan Thailand tidak akan berubah dasarnya dalam mendorong perkembangan hubungan antara ASEAN dengan China walaupun peralihan pemerintahan telah berlaku di negara itu baru-baru ini. Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont akan pergi ke China untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-15 Penjalinan Hubungan Rakan Dialog ASEAN-China dan turut mengemukakan cadangan pihak Thailand tentang perkembangan hubungan ASEAN-China secara berterusan.
Beliau mendedahkan: "Thailand akan mengusulkan supaya menubuhkan 'Pusat ASEAN-China' bagi tujuan berkomunikasi maklumat antara kedua-dua pihak. Di samping itu, Thailand juga akan mencadangkan supaya membina jaringan komunikasi ASEAN-China bagi mendorong kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan."
|