Menurut berita CRI, Perdana Menteri China, Wen Jiabao di Nanning, Guangxi hari ini menyatakan bahawa China amat mengutamakan kerjasama sains dan teknologi China-Negara Brunei Darussalam dalam bidang pertanian dan bersedia untuk menyediakan bantuan kepada Negara Brunei Darussalam dalam bidang teknologi, tenaga profesional dan sebagainya.
Wen Jiabao menyatakan sedemikian ketika menemui Sultan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah yang menghadiri Sidang Kemuncak Memperingati Ulang Tahun Ke-15 Penjalinan Hubungan Rakan Dialog China-ASEAN. Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara sedang menghadapi peluang perkembangan yang baru pada masa ini. Beliau berharap agar kedua-dua pihak dapat meningkatkan pertukaran peringkat tinggi, meluaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pelaburan di samping mendorong pertukaran dalam bidang kebudayaan dan pendidikan.
Mengenai isu Laut China Selatan, Wen Jiabao menekankan bahawa China sentiasa berpegang teguh pada prinsip "mengetepikan perselisihan dan meneroka bersama". Prinsip ini bersesuaian dengan kepentingan kedua-dua negara.
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah amat menyetujui pandangan Wen Jiabao terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Beliau menyatakan bahawa kerajaan Negara Brunei Darussalam menggalakkan pelbagai perusahaan China melabur di Brunei.
|