Ekspo China-ASEAN yang ketiga telah dirasmikan di Bandar Nanning, Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China pada hari Selasa 31 Oktober 2006. Pada hari yang sama, 10 projek pertama kerjasama China-ASEAN dalam aspek ekonomi dan perdagangan pada ekspo kali ini telah dimeterai di Nanning.
Menteri Perdagangan China Bo Xilai, menteri perdagangan dari 10 negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Ong Keng Yong telah menghadiri majlis pemeteraian itu.
Dimaklumkan bahawa China dan negara-negara anggota ASEAN juga akan memeterai pelbagai projek kerjasama yang lain pada beberapa hari yang akan datang.
10 projek kerjasama tersebut mengenai pelaburan negara-negara ASEAN ke China, dan juga pelaburan China ke negara-negara ASEAN, aspek-aspek yang diliputi termasuk pembinaan jalan dan jambatan, penjanaan kuasa hidroelektrik, hasil laut, bahan makanan dan minyak, perubatan dan sebagainya. Jumlah pelaburan bagi 10 projek tersebut mencatat kira-kira 600 juta dolar Amerika.
Menteri Perdagangan China, Bo Xilai ketika diwawancara dalam majlis pemeteraian tersebut berkata bahawa hubungan China dan ASEAN telah mencapai perkembangan pesat pada beberapa tahun kebelakangan ini. Kadar peningkatan jumlah dagangan antara China dengan ASEAN pada tahun ini berkemungkinan melebihi 20%.
Beliau berkata: "Bagi perdagangan China dan ASEAN, sekarang China mengalami kurangan dagangan dengan ASEAN. Pada tahun lalu, jumlah kurangan dagangan China dan ASEAN melebihi 20 bilion dolar Amerika. Walau bagaimanapun, kami inginkan situasi sebegini, kami berharap dapat mengimport lebih banyak barang dan produk daripada negara-negara ASEAN. Disebabkan pasaran China amat luas, maka kami bersedia untuk menjalinkan kerjasama yang saling menguntungkan dengan ASEAN, dan ingin memperlihatkan kepada kalangan tokoh ekonomi di ASEAN bahawa pasaran China yang besar boleh mendatangkan faedah kepada mereka." Ketika memperkatakan pelaburan antara China dengan ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN, Ong Keng Yong menjelaskan: "Pelaburan antara ASEAN dengan China juga meningkat dengan pesat. Seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri China Wen Jiabao dan pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN, China dan ASEAN sedang meliberalisasikan rejim pelaburan, maka kami melibatkan lebih banyak pelaburan dua hala. Sekarang pelaburan ASEAN ke China lebih banyak daripada pelaburan China ke ASEAN, tetapi saya yakin bahawa selepas perbincangan antara pemimpin-pemimpin China dengan negara ASEAN dalam sidang kali ini, pelaburan langsung dua hala akan meningkat. Ini akan memanfaatkan kami kerana kami ingin melakukan lebih banyak perdagangan dan juga pelaburan."
Menteri Perdagangan China Bo Xilai juga berkeyakinan bahawa pelaburan China ke negara-negara ASEAN akan semakin meningkat. Beliau berkata: "Ekonomi China makin hari makin matang, dan sekarang semakin banyak perusahaan China bersedia untuk melabur ke negara-negara ASEAN. Bidang kerjasama perdagangan dan pelaburan China-ASEAN juga semakin meluas. Di samping itu, kerjasama kedua-dua pihak dalam sektor perkhidmatan juga dijalankan dengan lancar, khasnya dalam sektor pelancongan. Saya yakin bahawa hubungan China-ASEAN dalam bidang ekonomi dan perdagangan serta kerjasama dalam kebudayaan akan mencapai kemajuan yang lebih besar dalam era baru."
Antara 10 projek kerjasama China-ASEAN yang dimeterai tersebut, juga terdapat projek kerjasama antara China dengan Malaysia, iaitu Kumpulan SSP Malaysia melabur dalam pasaran hasil laut di Bandar Beihai, Guangxi China. Jumlah pelaburannya mencatat kira-kira 44 juta dolar Amerika.
|