v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Temu Bual dengan Menteri Luar Singapura Sempena Ulang Tahun ke-40 Penubuhan ASEAN

2007-08-07 16:15:11 CRI

Menteri Luar Singapura, Encik Yeo Yong Boon diwawancara oleh Wartawan CRI, Lu Qing (kiri).

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 penubuhan ASEAN dan juga ulang tahun ke-10 kerjasama Asia Timur. Menteri Luar Singapura yang menjadi negara pengerusi bergilir ASEAN, Encik Yeo Yong Boon semasa diwawancara oleh wartawan CRI semalam telah mengimbas kembali kejayaan yang dicapai oleh ASEAN dalam tempoh 40 tahun lalu dan hala tuju hubungan antara ASEAN dengan China.

8 hb Ogos ini merupakan hari peringatan ulang tahun ke-40 penubuhan ASEAN. Kini, ASEAN telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang politik, ekonomi dan kerjasama serantau dan menjadi sebuah pertubuhan yang tidak boleh diketepikan bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, bahkan di seluruh dunia.

Menteri Luar Singapura, Encik Yeo Yong Boon berkata: "Kejayaan yang paling besar yang dicapai oleh ASEAN dalam tempoh 40 tahun lalu ialah hubungan damai dan persahabatan antara pelbagai negara anggota sentiasa berkekalan. Hal ini berfaedah bagi kerjasama ekonomi dan juga memudahkan perjalanan rakyat negara-negara berkenaan. Sebelum merdeka, negara-negara Asia Tenggara kecuali Thailand berada di bawah pemerintahan kolonial. Selepas mencapai kemerdekaan masing-masing, kami mula lebih memahami antara satu sama lain dan bersama-sama dengan beberapa negara Asia Tenggara telah menubuhkan ASEAN semasa era Perang Dingin pada 40 tahun lalu. Penubuhan ASEAN telah memudahkan kerjasama dan memastikan hubungan damai antara pelbagai negara anggota ASEAN pada masa itu. Selepas Perang Dingin berakhir, semua negara Asia Tenggara telah menganggotai ASEAN. Kini, Asia Tenggara telah menjadi satu kawasan yang ekonominya bersepadu dan berusaha meningkatkan kerjasama dalaman serta melaksanakan sistem kebenaran masuk tanpa visa kepada mana-mana warganegara anggota ASEAN. Pemimpin pelbagai negara ASEAN akan menandatangani Piagam ASEAN di Singapura pada bulan November nanti bagi mengintensifkan integrasi serantau secara berterusan. Perkara ini amat penting bagi pembangunan serantau pada masa akan datang."

Walau bagaimanapun, ASEAN tetap akan menghadapi pelbagai cabaran dalam jalan pembangunannya pada masa depan.

"Cabaran utama yang dihadapi oleh ASEAN adalah untuk mencari mekanisme dalam meningkatan perpaduan dan mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang antara pelbagai negara anggota. Jika kami berjaya mengatasi cabaran-cabaran itu, ASEAN akan menjadi rakan yang penting kepada China, India, A.S. dan pelbagai negara lain dan dapat memainkan peranan untuk memelihara kedamaian dan kestabilan di kawasan yang lebih luas," kata Encik Yeo.

Semasa menghuraikan hubungan kerjasama antara China dengan ASEAN, Yeo Yong Boon berkata: "Hubungan persahabatan antara China dengan ASEAN amat penting bagi Singapura kerana 70% penduduk Singapura ialah orang Cina. Oleh hal yang sedemikian, kami aktif mendorong hubungan persahabatan antara ASEAN dengan China dan kami berasa sukacita selepas menerima respons yang amat positif dari China. Jika melihat dengan pandangan yang jauh, kerjasama yang rapat antara China dengan ASEAN amat berfaedah bagi pembangunan Asia. Kami yakin terdapat potensi yang meluas dalam kerjasama China-ASEAN. Seiring dengan proses integrasi ekonomi dan kepesatan pertumbuhan perdagangan dua hala, banyak perusahaan ASEAN telah mengadakan pelaburan di China, sementara itu, jumlah perusahaan China yang melabur di negara-negara ASEAN juga semakin bertambah. Kerjasama politik antara kedua-dua pihak juga dijalankan dengan amat baik bukan sahaja dalam isu dua hala, tetapi juga isu antarabangsa. Dalam bidang sosial dan kebudayaan pula, kedua-dua pihak telah menjalankan pertukaran dalam kalangan pakar dan mengadakan pelbagai jenis pameran dan persembahan bagi meningkatkan persefahaman antara satu sama lain."

  Berita Berkaitan

  Ulasan
 
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |