
Setiausaha Agung Jawatankusasa Pusat Parti Komunis China, Hu Jintao membentangkan laporan dalam majlis perasmian Kongres Kebangsaan ke-17 Parti Komunis China pada 15 Oktober.
Menurut berita CRI, Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China, iaitu parti pemerintah China telah dirasmikan di Dewan Besar Rakyat China di Beijing pagi tadi. Pemimpin-pemimpin utama Parti Komunis China dan wakil khas termasuk Hu Jintao, Jiang Zemin, Wu Bangguo, Wen Jiabao, Jia Qinglin, Zeng Qinghong, Wu Guanzheng, Li Changchun dan Luo Gan serta seramai lebih 2200 wakil telah menghadiri kongres tersebut.

Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China dipengerusikan oleh anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankausa Pusat Parti Komunis China, Wu Bangguo. Para perwakilan kongres ini telah memberikan penghormatan selama satu minit kepada pemimpin Parti Komunis China dan Republik Rakyat China yang sudah meninggal dunia termasuk Mendiang Mao Zedong dan Deng Xiaoping serta pahlawan revolusi lain. Selepas itu Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Hu Jintao bagi pihak Jawatankuasa Pusat Ke-16 Parti Komunis China telah membentangkan laporan yang bertajuk "mengangkat bendera sosialis yang bercirikan China dan berjuang demi mencapai kejayaan baru dalam pembangunan masyarakat yang kaya" kepada para perwakilan.
Laporan Hu Jintao mengandungi 12 bahagian. Kandungan utamanya termasuk meninjau kembali usaha dalam tempoh lima tahun yang lalu; membuat kesimpulan terhadap sejarah selama 30 tahun sejak pelaksanaan dasar pembaharuan dan buka pintu; memberi penjelasan terhadap konsep pembangunan saintifik dan ertinya yang penting terhadap pembangunan China. Selain itu usaha negara China pada masa depan dalam bidang ekonomi, politik, kebudayaan, masyarakat, pertahanan, diplomasi, penyatuan semula negara, pembinaan parti dan sebagainya juga dijelaskan dalam laporan tersebut.
Kongres Kebangsaan Parti Komunis China dan Jawatankuasa Pusat yang dibentuknya merupakan badan pimpinan tertinggi Parti Komunis China. Kongres itu diadakan lima tahun sekali.
Kongres kali ini akan berlangsung selama 7 hari. Menurut agenda, kongres itu akan mendengar dan membahaskan laporan yang dikemukakan oleh Hu Jintao, membahaskan dan meluluskan Perlembagaan Parti Komunis China (Pindaan), membahaskan laporan kerja Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-16 Parti Komunis China, memilih Jawatankuasa Pusat Ke-17 Parti Komunis China dan memilih Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-17 Parti Komunis China.
|