Kongres Kebangsaan ke-17 Parti Komunis China telah dirasmikan di Beijing hari ini. Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komuis China, Hu Jintao telah menyampaikan laporan yang bertajuk "Mengangkat Bendera Sosialisme yang Bercirikan China, Berjuang demi Mencapai Kejayaan Baru dalam Pembangunan Masyarakat Kaya" dalam majlis perasmian tersebut. Laporan yang mengandungi 12 bahagian itu telah mengimbas kembali usaha yang dilakukan oleh Parti Komunis China dalam tempoh 5 tahun lalu, membuat rumusan tentang proses pembaharuan dan buka pintu dalam tempoh 30 tahun lalu, menjelaskan konsep pembangunan secara saintifik dan ertinya yang penting terhadap pembangunan negara dan menetapkan strategi pembangunan negara dalam bidang ekonomi, politik, kebudayaan, sosial dan pertahanan, diplomasi serta penyatuan semula negara, pembinaan parti dan sebagainya pada masa depan.
Semasa mengimbas kembali kejayaan yang dicapai oleh Parti Komunis China dalam tempoh 5 tahun lalu, Hu Jintao berkata: "Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kejayaan cemerlang telah dicapai dalam usaha pembaharuan dan buka pintu serta pembangunan masyarakat kaya. Kekuatan ekonomi negara dan taraf hidup rakyat China telah meningkat dengan ketara, peluang pekerjaan semakin bertambah, sistem jaminan sosial terus diperkukuh, sistem kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan asas juga semakin mantap selain pendidikan wajib yang percuma telah dilaksanakan secara menyeluruh di kawasan desa."
Dalam laporan itu, Hu Jintao menegaskan bahawa Parti Komunis China perlu melaksanakan konsep pembangunan saintifik dalam pembangunan negara. Beliau berkata bahawa yang paling penting dalam konsep pembangunan saintifik ialah pembangunan dan terasnya ialah mengutamakan rakyat. Menurut konsep itu, pembangunan secara berterusan harus diwujudkan dalam bidang ekonomi dan sosial, mewujudkan pembangunan yang seimbang antara bandar dengan desa, mewujudkan pembangunan yang harmoni antara manusia dengan alam dan mendorong pembangunan negara di samping menjalankan dasar buka pintu. Beliau juga menuntut supaya Parti Komunis China dapat melaksanakan konsep pembangunan secara saintifik dalam semua usaha pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Dalam laporan tersebut, Hu Jintao juga telah mengemukakan matlamat baru dalam pembangunan negara menjelang tahun 2020, antaranya termasuk jumlah KDNK perkapita meningkat empat kali ganda berbanding tahun 2000, membentuk sistem jaminan sosial yang melindungi penduduk di seluruh negara, menghapuskan kemiskinan mutlak, menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua rakyat, membentuk struktur industri, kaedah pertumbuhan dan cara penggunaan yang menjimatkan sumber tenaga dan mesra alam.
Semasa menghuraikan isu pembangunan demokrasi, Hu Jintao menegaskan: "Demokrasi rakyat merupakan nadi bagi sosialisme. Kita perlu terus menggalakkan penglibatan rakyat dalam urusan politik secara lebih meluas, mewujudkan konsep undang-undang demokrasi sosialisme, sama rata dan adil dalam kalangan masyarakat, memilih lebih ramai tokoh-tokoh ahli bukan Parti Komunis China menyandang jawatan penting dalam kerajaan."
Hu Jintao dalam laportan itu juga telah menegaskan pendirian Parti Komunis China tentang isu Taiwan dan menyeru agar menamatkan situasi bermusuhan antara kedua-dua pantai Selat Taiwan dan mencapai persetujuan damai berdasarkan prinsip satu China.
Semasa menyebut usaha diplomatik, Hu Jintao menyatakan: "China akan terus mengekalkan jalan pembangunan secara damai, mengamalkan strategi buka pintu yang saling menguntungkan dan memberi perhatian terhadap keprihatinan pelbagai negara lain, terutamanya negara membangun."
Dimaklumkan bahawa Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China akan berlangsung selama 7 hari. Para peserta akan mengadakan perbahasan terhadap laporan Hu Jintao tersebut, pindaan Perlembagaan Parti Komunis China, laporan kerja yang diserahkan oleh Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat Ke-16 Parti Komunis China serta mengadakan pemilihan anggota Jawatankuasa Pusat Ke-17 dan Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat Ke-17 Parti Komunis China.
|