Naib Menteri Pertanian, Gao Hongbin hari ini di Beijing menyatakan, tindakan pengawasan dan peningkatan mutu keluaran pertanian yang dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu telah mencapai matlamatnya, mutu keluaran pertanian banyak ditingkatkan. China akan terus membentuk mekanisme jangka panjang untuk menjamin mutu dan keselamatan keluaran pertanian, menyempurnakan sistem pengesan kembali dan hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab atas mutu produk supaya menjamin dan meningkatkan mutu keluaran pertanian.
Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Jabatan Penerangan Dewan Negara China hari ini, Naib Menteri Pertanian China, Gao Hongbin memaklumkan, melalui pelaksanaan tindakan pengawasan dan peningkatan mutu keluaran pertanian selama ini, taraf mutu dan keselamatan keluaran pertanian China terjamin. Beliau berkata:
"Pada masa ini, kadar sisa racun perosak dan bahan kimia dalam sayur-sayuran, ayam-itik dan hasil laut banyak menurun. Kesemua pasar pemborongan keluaran pertanian di 676 buah bandar besar dan sederhana di China telah ditetapkan sebagai sasaran pengawasan badan pertanian kerajaan."
Walaupun tindakan tersebut telah mencapai kejayaan tertentu, namun disebabkan ketidakseimbangan taraf mutu dan keselamatan keluaran pertanian di pelbagai tempat di China dan keluaran pertanian mudah menjadi busuk dan tercemar, kerja pengawasan keluaran pertanian China masih menghadapi tugas yang berat.
Encik Gao Hongbin berkata, Kementerian Pertanian China akan terus memperkukuh kejayaan tindakan tersebut dan membentuk mekanisme jaminan mutu keluaran pertanian untuk jangka masa panjang. Beliau berkata:
"Pertama ialah membentuk sistem berkenaan iaitu membentuk sistem pemantauan, pemusnahan dan pemanggilan balik bagi bahan mentah dan keluaran pertanian, menyempurnakan sistem pengesan dan tanggungjawab serta sistem tindak balas kecemasan. Kedua, meningkatkan pembangunan sistem penyeliaan dan pengawasan. Ketiga, mendorong pelaksanaan piawaian pertanian."
Gao Hongbin juga menyatakan, China akan melaksanakan sistem tanggungjawab kerajaan tempatan secara menyeluruh pada masa depan, mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melakukan kesilapan atau kesalahan. Selain itu, badan pertanian juga akan mendorong pelaksanaan piawaian pertanian, menyempurnakan sistem pemantauan dan amaran serta meningkatkan pengawasan terhadap mutu dan keselamatan keluaran pertanian.
Menyentuh tentang pembekalan makanan dalam tempoh Sukan Olimpik Beijing, Gao Hongbin menyatakan, kebanyakan makanan yang disediakan kepada atlet Sukan Olimpik itu dikeluarkan di China. Kementerian Pertanian akan bekerjasama dengan 13 kerajaan peringkat provinsi termasuk Beijing untuk melaksanakan tindakan jaminan mutu dan keselamatan keluaran pertanian supaya menyediakan makanan yang selamat dan bermutu tinggi kepada para atlet.
"Dalam tempoh Sukan Olimpik Beijing, Kementerian Pertanian bertanggungjawab dan berkewajipan untuk menjamin mutu dan keselamatan keluaran pertanian. Kami telah menubuhkan satu kumpulan khas untuk membekalkan makanan yang mencukupi, selamat dan beraneka ragam untuk Sukan Olimpik."
|