Lebih 10 provinsi China di bahagian selatan China dilanda bencana salji sejak 10 Januari lalu. Bencana itu menyebabkan lebih 60 orang terkorban serta kerugian ekonomi langsung yang mencecah 54 bilion Yuan RMB. Kini kehidupan penduduk dan usaha pengeluaran di beberapa tempat yang dilanda bencana mula pulih selepas usaha penyelamatan dilaksanakan dengan segera oleh pelbagai pihak berkenaan.
Naib Ketua Bahagian Operasi Ekonomi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Encik Zhu Hongren berkata walaupun beberapa tempat mengalami pelbagai kerugian akibat bencana kali ini, namun kesan bencana itu agak terhad dan tidak akan menjejaskan aliran perkembangan ekonomi China secara menyeluruh. Katanya: "Tempat yang dilanda bencana kali ini tertumpu di bahagian selatan China sahaja, jadi kesannya terhadap negara adalah terhad. Di samping itu, adalah faktor-faktor yang postif dalam pertumbuhan ekonomi negara seperti penganjuran Sukan Olimpik di Beijing pada tahun ini. Selain itu, usaha pengeluaran terus dilaksanakan di seluruh negara dan usaha penyelamatan bencana dijalankan."
Pakar ekonomi daripada Akademi Sains Sosial China, Encik Han Meng juga mempunyai pandangan yang sama, katanya: "KDNK China telah mengekalkan kadar pertumbuhan yang mantap dan pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Di samping itu pendapatan rakyat juga terus meningkat. Selain itu, aturan kegiatan ekonomi dipelihara dengan baik dan jumlah pengeluaran hasil pertanian juga stabil pada 4 tahun kebelakangan ini. Oleh itu bencana salji kali ini tidak akan memberi kesan yang serius kepada ekonomi China secara menyeluruh. "
Han Meng berpendapat bahawa tidaklah terlalu susah untuk memulihkan kegiatan ekonomi kerana bencana itu hanya melanda pada musim sejuk sahaja dan masa itu bukanlah musim yang sibuk bagi bidang industri dan pertanian.
Kini, bekalan elektrik dan usaha pengangkutan sudah semakin pulih berikutan tindakan penyelamatan bencana yang diambil. Menurut Kementerian Hal Ehwal Awam China, keadaan bencana telah mula reda di tempat-tempat berkenaan. Selain itu, pihak berusaha juga telah mengambil pelbagai langkah untuk membanteras kegiatan menaikkan harga barang untuk tujuan spekulasi. Encik Zhu Hongren berkata: "Kini kenaikan harga barang di tempat-tempat yang dilanda bencana telah dikawal oleh kerajaan dengan menghantar bahan makanan, daging dan sayur-sayuran yang mencukupi ke sana. Kini, harga bahan makanan dan daging sudah stabil."
Menurut maklumat daripada Jabatan Meteorologi China, cuaca di kawasan yang dilanda bencana salji akan pulih dalam tempoh seminggu yang akan datang. Ini baik bagi kerja-kerja penyelamatan selanjutnya supaya dapat dijalankan dengan lancar, antaranya untuk memulihkan pengangkutan di landasan kereta api dan jalan raya, menghantar barang bantuan dan memperbaiki kemudahan bekalan elektrik.
Pakar ekonomi, Encik Han Meng semasa diwawancara oleh wartawan CRI juga menyeru supaya masyarakat antarabangsa bersama-sama berusaha untuk menangani pelbagai bencana alam yang semakin banyak berlaku di seluruh dunia. Dalam konteks ini, China juga perlu mengambil iktibar dan membuat persiapan yang mencukupi bagi menangani bencana seumpama itu. Katanya: "Kita perlu merancang satu cara yang bersepadu bagi menghadapi pelbagai jenis bencana alam pada masa akan datang yang menggariskan langkah-langkah dalam bidang sumber tenaga, kemudahan indsutri dan infrastruktur di bandar."
|