China akan melaksakanan dasar kewangan yang ketat pada tahun ini. Ini menandakan bahawa China telah mengubah dasar kewangan mantap yang dilaksanakan sejak berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1997.
Ketika menyebut tujuan untuk melaksanakan dasar kewangan yang ketat itu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao berkata: "China melaksanakan dasar kewangan yang ketat terutamanya kerana memandangkan tekanan yang semakin kuat akibat pantulan pelaburan aset tetap, pemberian pinjaman kewangan yang terlalu banyak, dan tekanan ekoran kenaikan harga yang semakin meningkat. Maka, dengan itu, kerajaan perlu meningkatkan usaha pengawalan kewangan demi mengawal jumlah bekalan mata wang dan pertumbuhan pinjaman yang terlalu pesat."
Pakar kewangan dari Universiti Kewangan Pusat China, Encik He Qiang ketika diwawancara memberikan pendapatnya bahawa tekanan inflasi merupakan sebab langsung bagi China melaksanakan dasar kewangan yang ketat.
"Indeks harga pengguna di China berada pada tahap yang rendah sebelum bulan Disember tahun 2006. Namun pada tahun 2007, harga barangan semakin meningkat. Dasar kewangan ketat ini akan dilaksanakan terutamanya kerana harga barangan yang terlalu tinggi sekaran," katanya.
Dalam laporan kerja kerajaan tahun ini, Pedana Menteri Wen Jiabao menyatakan bahawa Bank Rakyat China akan mengawal jumlah bekalan mata wang dalam pasaran dengan menggunakan strategi pasaran terbuka, nisbah rizab simpanan dan kadar faedah.
"China akan membaiki struktur pinjaman dan kredit, mengawal pertumbuhan pinjaman jangka sederhana dan panjang, terutamanya mengawal pinjaman kepada perusahaan yang banyak menggunakan tenaga dan melepaskan pencemaran. Kerajaan, sebaliknya, akan memberikan sokongan pinjaman untuk bidang pertanian, pembangunan desa dan petani, sektor perkhidmatan, perusahaan kecil dan sederhana, serta bidang-bidang yang berkaitan dengan inovasi, penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar," katanya.
Pakar ekonomi China yang juga bakal Timbalan Presiden Bank Dunia, Encik Lin Yifu menghargai langkah tersebut dan berpendapat bahawa hal ini membuktikan bahawa dasar pengawalan makro ekonomi yang diambil oleh kerajaan China lebih fleksibel, dan kerajaan China semakin mementingkan penggunaan dasar kewangan untuk mendorong penyusunan semula struktur ekonominya.
"Dasar kewangan yang ketat mempunyai dua pendekatan: satu, menaikkan nisbah rizab simpanan; dan satu lagi, menaikkan kadar faedah. Pada pandangan saya, lebih baik menaikkan kadar faedah, kerana jika nisbah rizab simpanan dinaikkan, jumlah pinjaman yang disediakan oleh bank akan dikurangkan, dan dengan itu perusahaan kecil dan sederhana akan tersingkir terlebih dahulu. Selain itu, jika kadar faedah tidak dinaikkan, maka lebih banyak modal akan dipindahkan ke pasaran saham dan hartanah."
Memandangkan pertumbuhan ekonomi bagi pelbagai entiti ekonomi utama yang lain di dunia semakin lembap, permintaan luar semakin kurang, dan perbelanjaan dalam negeri China kurang tinggi, maka, Bank Rakyat China akan mengambil sikap berhati-hati ketika menaikkan kadar faedah.
Kini, Bank Industri dan Perniagaan China serta pelbagai institusi kewangan yang lain telah menyatakan akan melaksanakan dasar kewangan yang ketat itu, dengan mengetatkan pemberian pinjaman kepada projek-projek yang banyak menggunakan sumber tenaga dan mengakibatkan pencemaran serius. Mereka juga mencadangkan supaya Bank Rakyat China menggalakkan pinjaman kepada pengguna untuk memperluas permintaan domestik.
Beberapa orang pakar kewangan ketika diwawancara juga berpendapat bahawa untuk menyelesaikan masalah dalam perkembangan ekonomi, China tidak boleh menggunakan dasar kewangan semata-matanya, tetapi perlu juga mengatur dasar fiskal, dasar perindustrian dan dasar import-eksport.
|