Rusuhan telah berlaku di Lhasa, ibu bandar Wilayah Autonomi Tibet China baru-baru ini dan ketenteraman awam telah terancam. Pengerusi kerajaan Wilayah Autonomi Tibet, Qiangba Puncog menyatakan di Beijing, pada hari Isnin, bahawa rusuhan tersebut didalangi oleh kumpulan pemisah Dalai Lama dari dalam dan luar negara China. Namun, kini, ketenteraman di bandar Lhasa telah pulih kembali.
Jabatan Penerangan Dewan Negara China telah mengadakan sidang akhbar pada hari Isnin. Pengerusi kerajaan Wilayah Autonomi Tibet, Qiangba Puncog memaklumkan situasi yang berkenaan kepada pihak media dari dalam dan luar negara China.
Pada kira-kira pukul 11.00 pagi 14 Mac lalu, beberapa orang sami Buddha melontar batu ke arah polis yang sedang melaksanakan tugas pengawalan di Biara Ramogia, bahagian timur laut Lhasa. Selepas itu, sekumpulan perusuh mula berkumpul di jalan raya. Mereka melaung-laungkan slogan "pemisahan" sambil merosakkan harta awam. Kejadian tersebut merebak dengan cepat sekali. Para perusuh telah merosakkan dan merompak kedai, sekolah, hospital, bank, kemudahan elektrik dan komunikasi, agensi media dan jabatan kerajaan di beberapa jalan utama bandar Lhasa, membakar kenderaan dan memukul orang awam yang melalui kawasan itu.
Qiangba Puncog berkata bahawa setelah rusuhan itu berlaku, kerajaan Wilayah Autonomi Tibet segera mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan jenayah dan keganasan.
"Kami segera menugaskan jabatan berkenaan untuk memadamkan kebakaran, merawat orang yang cedera, meningkatkan kawalan di sekolah, hospital, bank dan jabatan kerajaan serta membanteras kegiatan jenayah dan keganasan. Semua tindakan itu diambil untuk memelihara kestabilan masyarakat, sistem undang-undang negara dan kepentingan asas rakyat pelbagai etnik di Tibet. Kini, situasi di Lhasa telah kembali stabil."
Dalam rusuhan tersebut, para perusuh telah membakar lebih 210 buah rumah dan kedai, merosakkan 56 buah kenderaan dan membunuh 13 orang awam. Qiangba Puncog berkata, tindakan para perusuh itu sangatlah kejam. Misalnya, salah seorang mangsa itu adalah orang awam yang disiram petrol oleh para perusuh dan dibakar hidup-hidup. Seorang askar yang sedang melaksanakan tugas pengawalan pula dipukul hingga tidak sedarkan diri oleh para perusuh, kemudian daging sebesar sebuah tapak tangan dipotong oleh perusuh itu daripada punggung mangsa itu. Qiangba Puncog berkata, negara demokratik mana sekalipun tidak akan menerima tindakan ganas tersebut.
Qiangba Puncog menegaskan bahawa rusuhan tersebut didalangi oleh kumpulan Dalai Lama dengan tujuan untuk memecah belahkan negara dan menjejaskan perpaduan Tibet. Beliau berkata:
"Rusuhan tersebut didalangi oleh kumpulan Dalai Lama dan dilaksanakan bersama-sama oleh kumpulan pemisah "kemerdekaan Tibet" di dalam dan luar negara China. Tujuannya jelas untuk menambahkan tekanan terhadap kerajaan China menjelang Sukan Olimpik Beijing ini."
Qiangba Puncog juga memaklumkan bahawa kerajaan bersikap bertanggungjawab semasa membanteras kejadian jenayah, melaksanakan undang-undang secara sopan dan berdasarkan undang-undang. Dalam proses membanteras jenayah tersebut, para polis dan askar tidak pernah membawa sebarang senjata pemusnah.
Tambah beliau, kerajaan China sentiasa memberi perhatian kepada Tibet dan telah mengambil pelbagai tindakan untuk menaikkan taraf hidup penduduk tempatan. Sebarang komplot untuk menjejaskan kestabilan Tibet dan memecah belahkan negara pasti akan gagal.
|