Televisyen Pusat China (CCTV) telah menyiarkan dokumentari tentang rusuhan yang berlaku di Lhasa, Tibet pada 14 Mac lalu. Dalam dokumentari tersebut, penonton dapat menyaksikan ramai orang awam yang tidak berdosa diserang oleh perusuh-perusuh, manakala banyak kedai dan bangunan di tepi jalan musnah dibakar.
Pada pagi 14 Mac lalu, sekumpulan sami Buddha melontarkan batu untuk menyerang polis yang sedang melaksanakan tugas di Biara Ramoche, bahagian timur laut Lhasa. Selepas itu, sekumpulan perusuh mula bermaharajalela di jalan raya, melaung-laungkan slogan "pemisahan", merosakkan serta merampas harta awam. Kejadian itu merebak dengan cepat sekali.
Di pusat bandar Lhasa, perusuh-perusuh telah memecah masuk ke pasar raya, kedai dan restoran, lalu merampas dan membakarnya. Lima orang pemudi yang sedang bekerja di sebuah kedai pakaian telah mati terbakar kerana gagal melarikan diri dari bangunan yang dibakar. Cik Drolma merupakan satu-satunya staf kedai pakaian tersebut yang terselamat daripada kebakaran itu.
"Pintu kedai kami itu bukan dibuat daripada kaca. Namun, perusuh-perusuh telah memecahkan pintu itu hingga bersepai. Kami semua sangat takut dan gementar, menangis hingga tidak dapat berkata apa-apa. Saya tidak menyangka keadaan menjadi akan begini. Saya ingin bertanya kepada perusuh-perusuh itu, mengapa mereka membunuh ramai orang yang tidak berdosa?" katanya.
Dalam peristiwa "14 Mac" itu, perusuh-perusuh telah melakukan jenayah yang amat mengerikan. Seorang lelaki yang memandu motosikal telah diserang oleh sekumpulan perusuh. Mereka memukul kepalanya dengan menggunakan batu bata. Mangsa itu cedera parah sehingga mata kanannya menjadi buta dan telinga kirinya dipotong. Malahan doktor yang datang menyelamatkan mangsa juga menjadi sasaran para perusuh. Doktor dari Hospital Rakyat Bandar Lhasa, Losel Tsering telah dibelasah oleh perusuh hingga cedera.
"Kami bertemu dengan perusuh-perusuh itu di jalan. Kami memberitahu mereka kami ialah doktor, tetapi mereka terus menghentam kereta kami dan memukul kami," katanya.
Banyak kemudahan tenaga elektrik dan komunikasi, bangunan bank, hospital serta sekolah rendah dan menengah di Lhasa telah musnah dalam peristiwa itu. Perusuh-perusuh telah memecah masuk Sekolah Menengah Kedua Bandar Lhasa dan membakar bangunan-bangunan sekolah itu. Ahli bomba yang berkejar ke tempat kejadian itu turut diserang oleh para perusuh. Dua buah kereta bomba dimusnahkan oleh mereka, manakala 4 orang ahli bomba cedera parah.
Sebaik sahaja berlaku rusuhan itu, Kerajaan Wilayah Autonomi Tibet segera mengambil tindakan untuk memelihara ketenteraman masyarakat serta melindungi keselamatan orang awam. Dalam dokumentari yang disiarkan oleh CCTV itu, penonton dapat menyaksikan bahawa pihak polis tidak menggunakan sebarang senjata ketika melaksanakan tugas. Mereka hanya memegang perisai untuk menangkis serangan perusuh dan menghalau mereka. Tetapi para perusuh telah menyerang polis dengan menggunakan batu dan parang.
Menurut statistik, sebanyak 216 buah rumah dan kedai serta 56 buah kereta musnah dibakar, dan 13 orang penduduk yang tidak berdosa dibunuh dalam rusuhan tersebut.
Pegawai Kerajaan Wilayah Autonomi Tibet, Encik Padma Tsinle berkata, terdapat bukti yang kukuh bahawa rusuhan yang berlaku di Lhasa kali ini didalangi dan dirancang oleh kumpulan pemisah Dalai Lama.
"Kumpulan Dalai Lama telah mengambil segala tindakan untuk berhubung dengan sebahagian daripada sami Buddha di Tibet dan memberi arahan melalui pelbagai saluran. Selain itu, kumpulan itu juga memperdaya dan menghasut penduduk tempatan untuk mencetuskan rusuhan kali ini," katanya.
Pihak bertanggungjawab kerajaan Wilayah Autonomi Tibet memaklumkan bahawa sehingga pukul 10.00 malam 19 Mac lalu, sebanyak kira-kira 170 orang perusuh yang terlibat dalam peristiwa itu telah menyerah diri. Sekarang, ketenteraman di Lhasa telah pulih kembali.
|