Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter berlaku di Kaunti Wenchuan, Provinsi Sichuan, barat daya China pada pukul 2.28 petang semalam waktu Beijing. Gempa bumi tersebut dapat dirasai di beberapa belas provinsi di China. Berdasarkan statistik Kementerian Hal Ehwal Awam China, setakat pukul 7.00 pagi tadi, gempa bumi tersebut telah mengorbankan 9219 nyawa dan memusnahkan lebih 500 ribu bangunan. Kini, kerajaan China sedang berusaha sedaya-upaya menjalankan kerja penyelamatan.
Kaunti Wenchuan, pusat gempa bumi kali ini terletak pada 31 darjah garis lintang utara dan 103.4 darjah garis bujur timur, dan jaraknya 100 kilometer lebih dari Chengdu, ibu kota Provinsi Sichuan. Jumlah penduduk di kaunti ini lebih 110 ribu orang. Selepas gempa bumi berlaku, jurucakap Biro Gempa Bumi China Zhang Hongwei telah memaklumkan situasi di sana kepada media massa.
"Gempa bumi kali ini berukuran tinggi dan telah memberikan kesan kepada kawasan yang luas. Gempa bumi dapat dirasai di Bandar Chongqing, Provinsi Gansu, Qinghai, Shanxi, Sha'anxi, Shandong, Henan, Hubei, Hunan, Guizhou, Yunnan, Jiangsu, Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia dan Wilayah Autonomi Tibet."
Selepas gempa bumi berlaku, Presiden Hu Jintao segera mengarahkan jabatan-jabatan yang berkenaan supaya segera menjalankan usaha penyelamatan dan menjamin keselamatan nyawa penduduk tempatan. Pusat Penyelarasan Tindakan Penyelamatan Gempa Bumi yang diketuai oleh Perdana Menteri Wen Jiabao telah ditubuhkan serta merta. Beliau juga segera berlepas ke kawasan bencana itu untuk memimpin kerja penyelamatan. Sebaik tiba di kawasan tersebut, Wen Jiabao segera mengarahkan pasukan tentera yang menyertai kerja penyelamatan itu supaya mengambil apa jua langkah untuk sampai secepat mungkin ke kawasan yang mengalami bencana yang paling teruk, walaupun terpaksa berjalan kaki. Beliau berkata:
"Menyelamatkan nyawa perlu diutamakan. Usaha penyelamatan perlu dijalankan terutamanya di kawasan yang mengalami bencana yang paling teruk, di pusat gempa bumi dan di kawasan yang perhubungannya telah terputus. Pasukan kita perlu mengambil apa jua langkah untuk sampai ke kawasan tersebut secepat yang mungkin. Jika kita dapat tiba di situ sedetik lebih awal, mungkin kita dapat menyelamatkan seorang lagi mangsa."
Beliau juga telah melawat mangsa yang cedera di hospital, di sekolah dan di pelbagai tempat perlindungan yang lain.
Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China telah mengadakan mesyuarat pada malam semalam untuk mengatur kerja penyelamatan. Mesyuarat tersebut mengarahkan pasukan tentera dan anggota pasukan perubatan kesihatan segera berkejar ke kawasan bencana untuk menjalankan kerja penyelamatan. Pihak yang berkenaan diminta mengambil apa jua cara untuk menghantar makanan, minuman, ubat, khemah dan barang-barang bantuan yang lain ke kawasan bencana untuk menyelamatkan mangsa di sana. Di samping itu, beberapa banyak jalan, kemudahan komunikasi, bekalan elektrik dan air yang rosak dan terputus juga diarahkan dibaiki dan dipulihkan dengan secepat mungkin.
Kini, kira-kira 20 ribu orang tentera telah tiba di kawasan bencana tersebut, manakala, puluhan ribu lagi sedang dalam perjalanan ke kawasan bencana. Ketua Kumpulan Peperangan Pasukan Polis Bersenjata, Zhang Jinliang berkata,
"Menurut arahan kerajaan pusat, kami telah menghantar 5000 orang tentera ke kawasan bencana gempa bumi itu. Selain itu, Pasukan Polis Tentera juga telah mengarahkan 2000 orang askarnya di provinsi Sichuan dan Qinghai supaya bersiap sedia untuk memasuki kawasan bencana tersebut."
Pasukan Penyelamat Kecemasan Gempa Bumi Negara China juga telah tiba di kawasan bencana ini untuk menjalankan tugas.
Suruhanjaya Bantuan Bencana Negara China telah menggerakkan pelan kecemasan untuk menghadapi bencana tahap I. Kementerian Hal Ehwal Awam China dan Kementerian Kewangan China bersama-sama memperuntukkan 200 juta yuan RMB untuk membantu penduduk tempatan menyelesaikan kesukaran hidup akibat bencana ini. Kementerian Hal Ehwal Awam China juga menyediakan 25 ribu khemah untuk kawasan bencana. Persatuan Palang Merah China pula segera menghulurkan bantuan yang bernilai lebih 780 ribu yuan RMB. Barang bantuan bekalan pertama telah berlepas dari pejabat Persatuan Palang Merah Provinsi Sichuan ke kawasan yang paling teruk mengalami bencana.
Selain itu, Jabatan Kesihatan Provinsi Sichuan telah menghantar 29 pasukan perubatan ke kaunti Wenchuan dan ke kawasan-kawasan bencana yang lain. Hospital-hospital di Sichuan juga sudah bersiap sedia untuk menerima mangsa. Untuk menjamin bekalan darah mencukupi dalam usaha menyelamatkan mangsa, ramai penduduk Chengdu mula menderma darah malam semalam. Masyarakat China dari pelbagai peringkat pun berpusu-pusu membantu menyelamatkan mangsa.
Pegawai Jabatan Pelancongan Negara China hari ini ketika diwawancara oleh wartawan CRI menyatakan bahawa laporan kecederaan dan kematian pelancong-pelancong asing di Sichuan masih belum diterima setakat ini. Pelan tindakan kecemasan pelancongan telah dilaksanakan dan kumpulan pimpinan yang diketuai oleh ketua pengarah jabatan itu, Shao Qiwei untuk menyelaras dan membantu pelancong yang terkandas di kawasan bencana gempa bumi telah ditubuhkan. Kini, enma kumpulan kerja sedang membuat pelbagai persiapan demi membantu pelancong-pelancong yang terkandas di kawasan bencana tersebut. Mereka memberikan sepenuh perhatian terhadap keselamatan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara di kawasan bencana tersebut dan akan berusaha sedaya upaya membantu para pelancong untuk keluar dari kawasan itu dengan secepat mungkin.
Dimaklumkan bahawa Lapangan Terbang Shuangliu Chengdu yang ditutup sementara akibat gempa bumi di Wenchuan itu telah pun dibuka semula pada pukul 12.23 lepas tengah malam tadi. Bandar Chengdu jaraknya lebih 90 km dari kaunti Wenchuan. Namun, kawasan bandar Chengdu ini turut merasai gegaran kuat gempa bumi tersebut, dan beberapa kemudahan di Lapangan Terbang Shuangliu Chengdu juga rosak akibatnya. Lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup sementara untuk menjamin keselamatan orang ramai. Sementara itu, anggota penyelamat pula menjalankan pemeriksaan terhadap kemudahan penting seperti landasan kapal terbang di lapangan terbang tersebut.
Menurut maklumat terkini, kebanyakan kilang penjana kuasa elektrik di kawasan bencana gempa bumi itu beroperasi seperti biasa. Unit generator yang terjejas dalam gempa bumi itu telah pulih beroperasi. Jurucakap Kementerian Kereta Api China, Wang Yongping hari ini menyatakan bahawa beberapa landasan kereta api yang di provinsi Sichuan, dan Xi'an, provinsi Shanxi, yang rosak akibat bencana tersebut telah beroperasi semula sebaik sahaja siap diperbaiki kecuali landasan Baoji ke Chengdu.
Landasan Baoji ke Chengdu rosak teruk akibat gempa bumi kali ini. Sebelum landasan itu siap diperbaiki, kereta api berkenaan akan mengangkut anggota penyelamat dan barang-barang bantuan ke kawasan bencana itu melalui landasan lain.
Selepas gempa bumi berlaku, kerajaan, pemimpin beberapa negara asing dan pertubuhan antarabangsa telah menyampaikan rasa simpati mereka kepada pihak China. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam berkata bahawa beliau yakin rakyat di kawasan bencana tentu dapat mengatasi kesusahan mereka di bawah pimpinan kerajaan dan pemimpin China. Presiden A.S, George W. Bush telah menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban serta mangsa yang cedera dalam bencana tersebut. Beliau juga menyatakan A.S. bersedia memberikan bantuan kepada pihak China. Selain itu, Kesatuan Eropah, Jepun, Jerman, Perancis, Rusia dan negara-negara lain juga menyampaikan rasa simpati kepada China selepas gempa bumi itu berlaku.
|