v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Agensi-agensi PBB Menyanjung Tinggi Usaha Menyelamat yang Dilaksanakan oleh China dalam Gempa Bumi

2008-05-14 14:21:41 CRI

Bencana gempa bumi dahsyat yang berlaku di provinsi Sichuan, China kelmarin telah mengakibatkan kematian dan kecederaan yang tinggi, serta kerugian harta benda yang serius. Selepas malapetaka itu berlaku, rakyat seluruh negara telah berpadu tenaga di bawah pimpinan kerajaan China, bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat secepat yang mungkin. Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Strategi Pengurangan Bencana Antarabangsa PBB (ISDR) telah menyanjung tinggi usaha menyelamat yang dilakukan oleh kerajaan China itu.

Jurucakap OCHA, Puan Elisabeth Byrs telah menyampaikan rasa simpatinya kerana malapetaka itu. Ketika menyentuh tentang ribuan pelajar yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan sekolah di kawasan bencana tersebut, air mata beliau kelihatan bergenang. Beliau berkata,

"Saya percaya kerajaan China telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan bantuan dalam bentuk pelbagai barang keperluan harian kepada mangsa yang terselamat. Saya yakin lebih banyak mangsa yang masih hidup akan dapat diselamatkan."

Kerajaan China telah mengambil tindakan kecemasan dengan secepat mungkin selepas gempa bumi itu berlaku. Perdana Menteri China, Wen Jiabao sendiri telah mengetuai kerja menyelamat dan menenangkan mangsa di kawasan bencana. Kesemua usaha China ini telah memberi kesan yang mendalam kepada Ketua Pengarah Sekretariat ISDR, Encik Salvano Briceno. Beliau berkata,

"Kecepatan tindakan kecemasan kerajaan China dalam bencana ini amat menakjubkan saya. Dalam tempoh empat jam selepas gempa bumi berlaku, anggota penyelamat sudah tiba di kawasan bencana itu. Tindakan kecemasan kerajaan China dalam bencana ini amat teratur dan telah memberikan kesan yang mendalam kepada saya."

Walaupun China berusaha menyelamatkan mangsa gempa bumi ini, namun kerja menyelamat ini menghadapi pelbagai masalah akibat cuaca yang buruk dan kerosakan jalan raya. Namun Jurucakap WHO, Puan Fadela Chaib merasa yakin atas usaha menyelamat yang dilaksanakan oleh China. Beliau berkata,

"China merupakan sebuah negara yang besar dan mempunyai banyak pengalaman menangani bencana. Selain itu, China juga mempunyai ramai pakar dalam bidang berkenaan. Maka, saya yakin China mampu menguruskan kerja menyelamat mangsa bencana dengan baik."

Selepas bencana itu berlaku, banyak negara dan pertubuhan antrabangsa menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada China. Kerajaan China mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kesediaan mereka. Namun, setakat ini, China belum menerima bantuan dari luar.

Gempa bumi tersebut telah mengakibatkan lebih 10 ribu orang terkorban. Bagaimana meramal bencana alam seperti ini? Tentang soalan tersebut, pegawai ISDR, Encik Salvano Briceno menyatakan bahawa, setakat ini, manusia belum menguasai cara untuk meramal bencana alam seperti gempa bumi. Beliau berkata:

"Susah sekali untuk meramal gempa bumi kerana ia selalunya berlaku tanpa sebarang tanda-tanda awal. Walaupun dapat diramal beberapa minit sebelum ia berlaku, waktu beberapa minit itu tidak mencukupi untuk membuat persediaan dari segi mencegah bencana itu."

Di samping itu, Encik Salvano Briceno juga menyatakan bahawa manusia boleh mengurangkan kesan gempa bumi dengan cara meningkatkan standard pembinaan bangunan yang tahan gempa bumi. Kata beliau, kerajaan China pernah menjalankan banyak usaha untuk mencegah gempa bumi dan menimba pengalaman daripada gempa bumi besar yang berlaku di Tangshan pada tahun 1976. Bangunan yang dibina semula di sana mampu tahan gegaran gempa bumi yang kuat. Pengalaman seperti ini boleh dicontohi dan dimanfaatkan oleh bandar-bandar lain di China.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |