Beberapa hari kebelakangan ini, masyarakat antarabangsa menyumbang bantuan untuk disalurkan ke kawasan yang dilanda bencana gempa di Sichuan. Pemimpin-pemimpin negara asing dan pegawai-pegawai pertubuhan antarabangsa dan serantau mengutus kawat takziah kepada pemimpin China.
Jurucakap PBB, Puan Michelle Montas menyatakan semalam, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon sentiasa memberikan perhatian kepada situasi di kawasan bencana serta menyampaikan simpati kepada mangsa kawasan tersebut. Montas berkata, PBB bersedia menyediakan bantuan kepada China dengan apa jua cara.
Pengerusi Kesatuan Afrika, Jean Ping mengeluarkan kenyataan malam tadi untuk memberikan perhatian ke atas bencana gempa yang mengakibatkan sebilangan besar penduduk terkorban dan menyampaikan simpati kepada kerajaan dan rakyat China.
Rusia bersedia menyalurkan empat kumpulan barangan bantuan yang bernilai 4 juta dolar Amerika, antaranya barangan kumpulan kedua diangkut ke Chengdu pagi semalam. Pada hari yang sama, kerajaan India mengumumkan akan menyumbang barangan bantuan yang bernilai 5 juta dolar Amerika ke kawasan bencana di Sichuan.
Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Persekutuan Antarabangsa yang beribu pejabat di Geneva semalam menyatakan akan menyumbang derma sebanyak 19.3 juta dolar Amerika ke kawasan bencana.
Baru-baru ini, kerajaan Norway, Spanyol, Belgium, Perancis, Greece, Estonia, Vietnam, Republik Korea, Mongolia, Singapura, Mozambique, Jepun dan Thailand serta agensi pelarian PBB (UNHCR) memutuskan untuk menyediakan bantuan ke kawasan bencana.
Selain itu, pemimpin Britain, Belanda, Switzeland, Emiria Arab Bersatu, Syria, Iraq, Peru, Yemen, Czech, Venezuela, Turkmenistan, Cameroon dan Uganda serta ahli politik Malaysia, Romania, Mexico dan Sri Lanka menyampaikan simpati kepada rakyat China.
|