v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Kehidupan Mangsa yang Terselamat dalam Gempa Bumi di Kaunti Beichuan Terjamin

2008-05-19 15:49:07 CRI

Bangunan-bangunan di kaunti Beichuan, Sichuan telah musnah dalam gempa bumi yang lalu, danpenduduk yang terselamat di kawasan tersebut telah dipindahkan dengan segera oleh kerajaan ke bandar Mianyang yang lebih selamat.

Di luar bangunan Stadium Jiuzhou Mianyang, lebih 10 orang kanak-kanak sedang bermain-main. Mereka kelihatan amat gembira. Kalau tidak nampak katil yang diperbuat daripada kayu dan kotak, saudara pasti tidak menyangka stadium itu menjadi rumah sementara bagi kira-kira 30 ribu orang penduduk yang terselamat dalam gempa bumi di kaunti Beichuan.

Stadium Jiuzhou itu merupakan pusat penempatan mangsa terselamat yang paling besar di bandar Mianyang. Penduduk yang dipindahkan dari Beichuan dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan kakitangan kerajaan serta sukarelawan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka.

Penduduk yang ditempatkan di stadium tersebut akan diberi roti dan telur untuk sarapan pagi serta nasi dan lauk-pauk untuk makan tengah hari dan malam. Sentiasa terdapat ramai penduduk di bandar itu yang menghantar makanan kepada mereka.

Sukarelawan membersihkan sampah di sekitar stadium tersebut tiap-tiap hari untuk mencegah wabak penyakit. Pegawai Jabatan Penyeliaan Kebersihan Makanan Mianyang, Encik Han Sirun menyatakan bahawa mencegah wabak penyakit menjadi tugas yang paling mendesak bagi mereka. Katanya, "Kami telah mengambil beberapa langkah untuk mencegah wabak penyakit pascabencana termasuk menjamin kebersihan air minum, tidak memberi makanan yang mentah, memproses sampah dan kekotoran dan menyediakan rawatan yang segera kepada pesakit."

Beberapa buah hopital telah menubuhkan pusat perkhidmatan perubatan di sekitar stadium tersebut. Mangsa yang terselamat boleh mendaftar untuk memperoleh ubat-ubatan secara percuma.

Mencari saudara mara yang hilang merupakan masalah yang mendesak bagi mangsa yang terselamat dari Beichuan. Xiao Taiyu, seorang warga emas yang terselamat dalam bencana itu berkata:"Anak lelaki saya bekerja di pekan kaunti kami. Sehingga sekarang, saya masih belum dapat menghubunginya."

Kakitangan yang bertanggungjawab telah menyediakan ruang maklumat untuk mencari saudara mara yang hilang di depan bangunan stadium tersebut. Syarikat telekomunikasi pula menyediakan talian untuk panggilan telefon percuma kepada mangsa yang terselamat untuk mencari saudara mara dan kawan-kawan mereka.

Selain kerajaan, beberapa syarikat juga berusaha membantu menjaga kebajikan mangsa yang terselamat. Lebih 1400 orang penuntut dari Sekolah Menengah Beichuan telah dipindahkan ke Mianyang pada hari kedua setelah gempa bumi berlaku. Kumpulan Syarikat Elektronik Changhong mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan mereka. Seorang penuntut yang bernama Xu Mingdong berkata: "Kebajikan kami amat terjamin. Untuk sarapan pagi, kami makan bubur, telur dan kuih-muih. Untuk makan tengah hari dan makan malam, kami disediakan lauk-pauk."

Kira-kira 100 orang penuntut sudah dapat menghubungi keluarga mereka. Seorang penuntut bernama Chen Lin, bukan sahaja membimbangkan saudara maranya, tetapi juga masih memikirkan tentang peperiksaan untuk masuk ke universiti yang akan diadakan tidak lama lagi. Katanya, "Guru kami memaklumkan bahawa ujian untuk masuk ke universiti di Sichuan akan diadakan menurut jadual. Saya masih memikirkan bagaimana mencapai kejayaan dalam peperiksaan itu."

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |