Setelah gempa bumi berlaku di Wenchuan, Sichuan China, seramai kira-kira 40 ribu orang doktor dan juru rawat dari seluruh negara segera bekejar ke kawasan tersebut untuk menjalankan operasi menyelamat.
Bandar Jiangyou merupakan sebuah bandar kecil yang berhampiran dengan Wenchuan dan Mianyang yang dilanda gegaran paling teruk. Hospital Rakyat Jiangyou berusaha membantu mangsa yang terselamat dalam bencana tersebut. Pengarah hospital itu, Hu Yongguang menyatakan bahawa para pekerja dari beberapa buah hospital di Jiangyou giat membantu mangsa yang cedera. Katanya, "Walaupun ubat-ubatan tidak mencukupi, petugas hospital kami giat merawat setiap mangsa yang cedera. Mereka sudah beberapa hari tidak tidur. Apabila berasa letih, mereka berehat di padang."
Hospital di Shanghai dan Nanjing telah mengerahkan petugas perubatan mereka ke Hospital Rakyat Jiangyou untuk meneyertai operasi menyelamat. Naib Pengarah Hospital Pertama Nanjing Jiangsu, Wang Liming, menyatakan bahawa mereka segera berkejar ke kawasan tersebut setelah gempa bumi berlaku untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa. Katanya, "Kami dikerah untuk bertolak ke kawasan yang dilanda gempa bumi pada pukul 8.10 pagi. Lebih dua jam kemudian, kami telah menaiki kapal terbang dan tiba di Chengdu pada pukul 2.00 petang. Pada pukul 12.00 tengah malamnya, kami tiba di Hospital Rakyat Jiangyou dan segera menjalankan rawatan."
Hospital di merata-merata tempat di China telah menerima surat permohonan daripada doktor dan juru rawat mereka untuk berkejar ke kawasan yang dilanda gempa bumi.
Semasa gempa bumi baru berlaku, jalan raya ke kaunti Wenchuan dan Beichuan terputus. Petugas-petugas perubatan bersama-sama dengan tentera berjalan kaki, menaiki helikopter atau bot untuk berkejar ke kawasan-kawasan tersebut. Ketua Unit Perubatan dan Kuarantin Markas Menyelamat dan Mmebantu Gempa Bumi Dewan Negara China, Gao Qiang amat kagum dengan jasa petugas perubatan. Katanya, "Gempa bumi yang berlaku di Sichuan telah menarik perhatian sejumlah 6 juta orang petugas perubatan di China. Petugas perubatan dari Guangdong dan Chongqing yang membawa alat perubatan dan ubat-ubatan berjalan kaki sejauh beberapa puluh kilometer untuk sampai ke Wenchuan. Mereka telah berjaya merawat dan memindahkan 74 orang mangsa yang cedera parah. Kini, pasukan perubatan kecemasan dari seluruh negara sedang menjalankan misi di kawasan yang dilanda gempa bumi itu. Ramai petugas perubatan telah bekerja selama beberapa puluh jam secara terus menerus, mereka ini amat letih."
Di Hospital Bersalin Daerah Jinjiang Bandar Chengdu, doktor dan jururawat sedang menjaga wanita yang hamil dan bayi yang cedera dalam gempa bumi. Kata seorang doktor, "Ketika gempa susulan berlaku, seorang wanita sedang sakit untuk bersalin. Kami menggunakan cadar dan membuat sebuah ruang untuk melindunginya. Oleh sebab wanita itu menghadapi masalah untuk bersalin kerana air ketubannya amat kurang, kami telah memindahkannya ke dalam bangunan untuk menjalankan pembedahan ketika gempa susulan melanda."
Seorang jururawat pula telah bekerja sepanjang hari, dan tidak ada waktu untuk menziarahi anaknya. Katanya, "Kami bertungkus-lumus untuk menjaga bayi-bayi di sini. Ibu bapa mereka tidak ada di sini, kami perlu bertanggungjawab terhadap mereka. Sedangkan anak saya masih di sekolah."
Seorang ibu bayi berkata: "Petugas perubatan di sini amat hebat. Saya kagum dan hendak mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka."
Jururawat dari Hospital Rakyat Sichuan, Chen Xiaohu yang berumur 24 tahun sedang hamil. Ketika gempa bumi berlaku, beliau giat ikut serta dalam operasi menyelamat. Beliau telah memindahkan 68 orang pesakit. Tetapi anak dalam kandungannya telah gugur.
|