v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

China Ambil Pelbagai Tindakan Elakkan Bencana Pascagempa

2008-05-26 15:31:06 CRI

Sekarang, China sedang giat melaksanakan kerja-kerja menyelamat akibat bencana gempa bumi.

Selain daripada memastikan kebajikan rakyat yang menjadi mangsa dan menjalankan pembangunan semula, usaha bagi mencegah berlakunya pelbagai bencana pascagempa juga diberikan perhatian yang serius, terutama bencana yang mungkin berlaku akibat kerosakan kemudahan tali air dan tasik ekoran tersekatnya aliran sungai.

Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Dewan Negara semalam, pegawai berkenaan memaklumkan bahawa China telah meningkatkan tahap pengawasan terhadap kemudahan tali air yang rosak akibat gempa bumi dan tasik ekoran tersekatnya aliran sungai. Di samping itu, rancangan kerja juga disusun untuk menghapuskan risiko bencana dan memindahkan penduduk ke tempat yang lebih selamat. Pegawai itu menyatakan bahawa China akan berusha sedaya upaya mengelakkan berlakunya bencana pascagempa dan memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat terjamin.

Naib Menteri Sumber Air China, Encik E Jingping memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi semalam, lebih 2000 buah empangan didapati menghadapi risiko pecah tambak, antaranya lebih 70% empangan tersebut berada di provinsi Sichuan. Beliau berkata:

"Pakar-pakar telah menjalankan penyelidikan terhadap semua empangan yang menghadapi risiko pecah tambak. Sekarang air takungan di 826 buah empangan telah dikurangkan dan 69 buah empangan pula telah melepaskan semua air takungannya. Tindakan itu dianggap berkesan bagi memastikan keselamatan empangan di wilayah yang mengalami bencana gempa."

Menurut E Jingping, Kementerian Sumber Air juga menghantar sekumpulan yang terdiri daripada pakar dan anggota teknikal untuk menjalankan kerja mengukuhkan empangan tersebut.

Selain itu, usaha mencegah banjir yang mungkin diakibatkan oleh tasik yang melimpah ekoran tersekatnya aliran sungai juga telah diberikan perhatian yang serius. Dimaklumkan bahawa luncuran tanah ke sungai akibat gempa bumi telah mewujudkan lebih 30 buah tasik di wilayah Sichuan.

Encik E Jingping berkata:

"Pusat-pusat pengawasan bagi semua tasik tersebut telah ditubuhkan dan rancangan kerja pula telah diatur untuk memandu usaha pemindahan penduduk. Selain itu, pihak-pihak tertentu telah ditetapkan untuk kerja-kerja menangani tasik tersebut, membuat penyelidikan terhadap keadaan air tasik dan ramalan cuaca."

Menurut beliau, tasik ekoran tersekatnya aliran sungai di Tangjiashan berisiko paling tinggi berlaku banjir kerana tasik itu terletak pada kedudukan bumi yang rumit. Walau bagaimanapun, kerja-kerja mengelakkan risiko banjir sedang giat dijalankan di sana.

Ketua Jurutera Kementerian Sumber Air, Encik Liu Ning yang baru kembali ke Beijing selepas menjalankan penyelidikan terhadap tasik Tangjiashan berkata bahawa sekarang ini, 4 buah pusat pengawasan banjir telah ditubuhkan di Tangjiashan. Sekiranya didapati ada risiko berlakunya banjir, maklumat ini akan dilaporkan segera kepada pihak penguatkuasa di kawasan hilir sungai. Kata beliau:

"Kerajaan tempatan di kawasan hilir sungai telah menyusun rancangan pemindahan penduduk ke tempat selamat. Rancangan itu dibuat berdasarkan andaian banjir paling teruk yang mungkin berlaku dan bertujuan mengurangkan kesan bencana secara maksimum, juga untuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat terjamin."

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |