Kerajaan China, ketika bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja penyelamatan, giat menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan bagi usaha menangani bencana akibat gempa bumi ini. Sementara itu, China juga membenarkan pasukan penyelamat dan perubatan dari pelbagai negara, serta media asing memasuki kawasan yang dilanda bencana sebaik sahaja gempa bumi berlaku. Perkara-perkara ini turut mengagumkan sesetengah orang dan media asing yang pernah menaruh prasangka terhadap China sebelum ini. Kerajaan China menunjukkan sikap yang sangat terbuka dalam usaha menangani bencana gempa itu dan sikap ini bermula dari keyakinan diri sendiri.
Ketika membuat liputan tentang bencana tersebut, beberapa buah media asing menyebut-nyebut usaha kerajaan China ketika menangani bencana gempa bumi yang berlaku di Tangshan pada tahun 1976 dahulu. Pada masa itu, kerajaan China menjalankan usaha menyelamat secara sendiri dan tidak mahu menerima bantuan yang diberikan oleh masyarakat antarabangsa. Manakala, ketika menangani bencana gempa bumi kali ini, kerajaan China telah memperlihatkan imej yang amat terbuka terhadap dunia luar.
Sejurus selepas gempa bumi berlaku di Wenchuan, wilayah Sichuan, Kementerian Luar China serta merta mengeluarkan kenyataan bahawa China merakamkan ucapan terima kasih dan mengalu-alukan apa juga jenis bantuan daripada masyarakat antarabangsa untuk kawasan yang dilanda bencana itu. Persatuan Palang Merah China juga turut mengeluarkan kenyataan seumpama itu kepada masyarakat antarabangsa. Sementara itu, China juga membenarkan pasukan penyelamat dari Jepun, Rusia, Republik Korea, Singapura dan pelbagai negara lain memasuki kawasan bencana tersebut. Ini merupakan pertama kali pasukan penyelamat dari negara asing menjalankan kerja menyelamat bencana di China sejak Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949. Selain itu, pasukan perubatan dari Rusia, Itali dan Taiwan juga dibenarkan untuk menjalankan kerja menyelamat di kawasan yang dilanda bencana. Manakala wartawan asing yang membuat liputan di kawasan bencana itu juga tidak mengalami sebarang halangan.
Sikap terbuka kerajaan China dalam usaha menangani bencana telah mendapat sanjungan tinggi daripada masyarakat antarabangsa. Akhbar Los Angeles Times A.S. menyebut bahawa tindakan kerajaan China dalam melaksanakan kerja penyelamatan bencana ini dijalankan dengan pendekatan moden, fleksibel dan amat terbuka. Akhbar Lianhe-zaobao Singapura menyatakan bahawa kesediaan China menerima bantuan masyarakat antarabangsa memperlihatkan sikap China amat terbuka dan yakin kepada diri sendiri untuk menyertai masyarakat antarabangsa.
China berpegang kepada sikap terbuka dalam menangani bencana gempa ini kerana mengutamakan dan menghormati nyawa. China mengalu-alukan pasukan penyelamat dari seluruh dunia untuk datang bertugas ke kawasan bencana demi menyelamatkan lebih ramai mangsa yang terperangkap dan merawat secepat-cepatnya dan sebaik-baiknya mangsa yang cedera.
Sikap terbuka China itu juga bermula dari perubahan konsep pentadbiran kerajaan China yang baru. Sejak dasar pembaharuan dan pintu terbuka diamalkan 30 tahun yang lalu, China telah mengalami perubahan yang besar dan menyeluruh. Perubahan tersebut bukan sahaja dapat dilihat dari segi perkembangan ekonomi, tetapi juga dari konsep yang diamalkan kerajaan dan orang awam.
Pertumbuhan ekonomi yang pesat pada beberapa tahun yang lalu telah meningkatkan kemampuan China dalam menangani bencana dan menjadikan China semakin yakin kepada diri sendiri, rendah hati dan bersedia menerima bantuan dari seluruh dunia.
|