Mesyuarat perdebatan biasa mula diadakan dalam Perhimpuan Agung PBB ke-63 semalam. Dalam tempoh enam hari berlangsungnya mesyuarat tersebut, pemimpin negara, kerajaan dan pegawai peringkat tinggi dari lebih 150 buah negara di seluruh dunia akan menjelaskan pendirian masing-masing tentang masalah penting yang dihadapi bersama oleh masyarakat antarabangsa di Ibu Pejabat PBB di New York. Perdana Menteri China, Wen Jiabao akan menyampaikan ucapannya dalam mesyuarat tersebut untuk menerangkan pendirian dan pandangan China tentang situasi antarabangsa dan masalah pembangunan China dan dunia.
Menurut pandangan para penganalisis, dengan pelbagai cabaran yang dihadapi sekarang, pemimpin pelbagai negara akan terus memberikan perhatian pada masalah globalisasi, termasuk perubahan iklim, krisis bahan makanan dan krisis kewangan. Selain itu, beberapa isu hangat di wilayah dan rantau tertentu, seperti pertempuran di Georgia, masalah nuklear Iran dan konflik Darfur juga menjadi topik utama dalam Perhimpuan Agung PBB kali ini. Di samping itu, masalah yang melibatkan pelaksanaan sistem rancangan PBB sendiri, seperti pembaharuan Majlis Keselamatan juga akan dibincangkan dalam mesyuarat ini.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, sebelum perdebatan hari ini, menyatakan bahawa pelbagai kesukaran dan cabaran yang kita hadapi sekarang memerlukan kerjasama kerajaan dan rakyat semua negara. Beliau sekali lagi menyeru pemimpin negara-negara di seluruh dunia supaya terus memberikan perhatian kepada beberapa isu, seperti perubahan iklim, pencegahan AIDS dan penjaminan hak asasi manusia supaya kesemua masalah yang mendesak ini dapat diatasi melalui pelaksanaan dasar yang berkesan.
Pengerusi Perhimpuan Agung PBB, Miguel d'Escoto Brockman dalam ucapannya pula menyatakan bahawa peningkatan perpaduan merupakan hasrat bersama semua pemimpin negara dari lebih 100 buah negara itu. Dengan latar belakang terkini, iaitu kenaikan harga bahan makanan di seluruh dunia, beliau menjadikan "cabaran krisis bahan makanan dunia terhadap pembangunan" sebagai satu daripada dua topik utama dalam perdebatan biasa kali ini. Para pemimpin dari pelbagai negara itu akan membincangkan cabaran yang serius yang dihadapi dalam proses mencapai Matlamat Pembangunan Millenium (MDG) PBB yang diakibatkan oleh kesemua masalah tersebut.
Selain itu, beberapa masalah keselamatan di beberapa wilayah tertentu, seperti pergeseran serius antara Rusia dengan beberapa buah negara barat yang diketuai oleh A.S., masalah nuklear Iran dan masalah susulan akibat perisytiharan kemerdekaan Kosovo secara sepihak juga menarik perhatian para peserta mesyuarat tersebut.
Presiden A.S., George W. Bush dalam ucapannya menyatakan peranan yang patut dimainkan oleh PBB untuk menghadapi ancaman daripada anasir pelampau dan pengganas. Menurutnya, walaupun tindakan antikeganasan telah mencapai kemajuan di Afghanistan dan di Iraq, namun beberapa cabaran baru masih terpaksa dihadapi. Menurutnya juga, beberapa buah negara seperti Syria dan Iraq masih memberikan sokongan kepada kegiatan keganasan.
Sementara itu, Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad dalam ucapannya pula menyatakan bahawa A.S. mencetuskan peperangan di Iraq untuk memperoleh sumber petroleum di rantau itu, manakala rakyat Afghanistan masih terus menderita sengsara setakat ini. Beliau menegaskan bahawa rakyat Iran akan tetap mempertahankan hak mereka sepenuhnya untuk menggunakan tenaga nuklear secara aman.
|