Perdana Menteri China, Wen Jiabao hadir dalam majlis jamuan yang dianjurkan oleh kumpulan persahabatan A.S. di New York semalam, dan menyampaikan ucapan yang berjudul "Maju Terus, Cipta Masa Depan Hubungan China-A.S. yang Cerah". Jiabao menyatakan bahawa hubungan kedua-dua negara akan terus maju ke masa hadapan tanpa mengira siapa pun yang terpilih sebagai Presiden baru A.S..
Majlis jamuan yang diselenggarakan oleh 10 buah kumpulan persahabatan pro-China itu disertai oleh 500 orang tokoh dari pelbagai lapisan masyarakat A.S. termasuk Menteri Tenaga Kerja, Elaine Lan Chao dan Mantan Setiausaha Negara, Henry Alfred Kissinger.
Dalam ucapan tersebut, Jiabao terlebih dahulu mengimbas kembali pencapaian pembangunan hubungan China-A.S. dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan dalam beberapa tahun yang lalu. Kemudian, beliau menceritakan peristiwa-peristiwa yang menarik berlaku dalam hubungan kedua-dua negara, seperti tawaran yang begitu banyak daripada belia A.S. untuk menjadi sukarelawan ke kawasan gempa bumi Sichuan, dan peristiwa sepanduk tertera "Terima Kasih, China" yang diangkat oleh pasukan renang berirama A.S. di arena pertandingan baru-baru ini. Kesemua babak tersebut cukup mengharukan.
Hanya tinggal sebulan sahaja lagi pemilihan Presiden A.S. akan diadakan. Arah aliran pembangunan hubungan China-A.S. pascapemilihan menarik perhatian umum. Jiabao menekankan bahawa hubungan kedua-dua negara akan terus mara ke depan tanpa mengira sesiapa yang menyandang jawatan Presiden A.S..
"China berharap agar terus mengekalkan hubungan kerjasama yang bersifat membina dengan A.S.. Hubungan kita akan menyasarkan masa depan tanpa mengira siapa pun yang menghuni Rumah Putih. Kita adalah rakan kerjasama dan sahabat akrab, bukan lawan. A.S. boleh mendapat manfaat daripada pembangunan kami. Saya berharap dan berdoa agar kerjasama kita dapat dilaksanakan menerusi cara pembangunan bersama yang harmoni dengan latar belakang budaya yang berbeza."
Menurut Jiabao, keyakinan tinggi yang didukungnya disebabkan oleh China-A.S. mempunyai kepentingan bersama yang luas, serta bidang dan erti kerjasama yang jauh melebihi hubungan dua hala, malah yang memberikan kesan yang besar kepada seluruh dunia. Kedua-dua pihak akan terus meningkatkan dialog untuk menghilangkan keraguan dan merapatkan persefahaman antara satu sama lain. China dan A.S. merupakan dua bangsa yang bersifat toleran dan suka mempelajari hal baru. Pembangunan damai China bukanlah ancaman yang akan menjejaskan kepentingan sebarang negara.
Jiabao juga menegaskan bahawa isu Taiwan tetap merupakan masalah yang paling penting dan sensitif antara hubungan China-A.S..
"Sejarah membuktikan bahawa sama ada hubungan kita berkembang dengan lancar atau tidak bergantung kepada isu Taiwan. Kami berharap pihak A.S. dapat mematuhi janji, memegang dasar Satu China dan Tiga Pengumuman Bersama China-A.S., menentang kegiatan 'kemerdekaan Taiwan', dan terus memperbaiki hubungan kedua-dua pantai Selat Taiwan demi mewujudkan pembangunan bersama. Ini bukan sahaja bermanfaat bagi rakyat kedua-dua pantai selat, tetapi juga berfaedah bagi hubungan China-A.S., bahkan keamanan dunia."
Menteri Tenaga Kerja A.S., Elaine Lan Chao menyatakan bahawa sangatlah mustahak bagi A.S. dan China meningkatkan kerjasama untuk memelihara keamanan dan kestabilan dunia, serta menyelesaikan banyak isu dan cabaran yang dihadapi.
"Saya berharap pemimpin baru dapat terus meningkatkan kegiatan pertukaran dengan China, terutamanya pertukaran peringkat tinggi, bagi membina jambatan penghubung antara kedua-dua negara."
|