China berharap negara-negara maju berusaha melaksanakan janji mereka untuk membantu Afrika supaya mendorong pembangunan negara-negara di Afrika.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao menjelaskan dasar luar China terhadap Afrika ketika menemui rakan sejawatnya dari Britain, Gordon Brown di New York semalam.
Gordon Brown pula berkata, usaha pembasmian kemiskinan di China telah mendapat pencapaian yang cemerlang.
Britain menghargai tindakan China yang terus menyokong dan membantu negara-negara lain untuk mengatasi masalah kemiskinan, penyakit dan buta huruf.
Semasa bertemu dengan Perdana Menteri India, Manmohan Singh, Wen Jiabao berkata, China bersedia meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan India dan menangani isu yang menarik perhatian bersama seperti isu sempadan China-India. Manmohan Singh pula menyatakan India dan China bukan saingan, tetapi rakan kerjasama strategik. Beliau berharap kedua-dua negara berusaha bersama untuk mendorong proses rundingan penyelesaian sempadan China-India yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.
Ketika menemui Presiden Pakistan yang baru, Asif Ali Zardari, Wen Jiabao menyatakan kerajaan China akan tetap mengambil dasar memperkukuh dan membangunkan hubungan kerjasama strategik dengan Pakistan. Asif Ali Zardari menyatakan beliau akan terus berusaha untuk mendorong perkembangan hubungan kerjasama persahabatan kedua-dua negara.
|