Presiden Republik Korea, Lee Myung-bak telah tiba di Moscow petang semalam dan memulakan lawatan rasminya selama 3 hari di Rusia. Ini merupakan lawatan pertama Lee Myung-bak ke Rusia sejak beliau menyandang jawatan Presiden pada bulan Februari lalu. Media Republik Korea berpendapat bahawa lawatan kali ini bukan sahaja akan mempererat hubungan diplomatik kedua-dua negara, tetapi juga akan meningkatkan kerjasama dalam bidang sumber tenaga. Pegawai Republik Korea menyatakan bahawa lawatan kali ini disifatkan mempunyai erti sejarah bagi hubungan diplomatik kedua-dua negara ini.
Menurut kenyataan pihak kerajaan Republik Korea, dalam tempoh lawatan itu, Lee Myung-bak akan mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev. Ini merupakan rundingan kali kedua antara kedua-dua presiden selepas mereka berdua menyandang jawatan masing-masing. Pemimpin kedua-dua negara itu akan membincangkan kerjasama ekonomi dan isu nuklear Semenanjung Korea. Selain itu, mereka juga akan membincangkan kerjasama dalam bidang penerbangan angkasa lepas, serta memperluas hubungan kedua-dua negara dari segi pertukaran golongan belia, bidang kebudayaan dan sukan. Mereka juga akan menandatangani lebih 30 perjanjian dan memorandum persefahaman dalam aspek petroleum, gas asli, perlombongan, perdagangan, sains dan teknologi, teknologi maklumat, penerbangan angkasa lepas serta pendidikan. Selain itu, Lee Myung-bak juga akan bertemu dengan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin dan golongan industri dan perdagangan negara itu.
Sebelum lawatan ini, Lee Myung-bak telah melawat A.S., Jepun dan China. Beliau akan menamatkan lawatan ke empat negara besar yang memainkan peranan penting dalam hal ehwal Semenanjung Korea. Pihak media berpendapat bahawa Rusia mempunyai pengaruh strategik di Semenanjung Korea dan kawasan Asia Timur Laut kerana rancangannya dalam jangka masa panjang, seperti meneroka kawasan barat yang luas, membina saluran paip minyak ke Asia Pasifik, dan membina landasan kereta api yang menyambung Semenanjung Korea dengan Eropah. Maka, mempererat hubungan dengan Rusia dapat memberi manfaat dan keselamatan kepada Republik Korea.
Pertama, kelebihan kedua-dua pihak dapat saling melengkapi. Rusia merupakan negara yang kaya dengan sumber tenaga dan negara maju dalam bidang penerbangan angkasa lepas. Manakala, Republik Korea mempunyai kelebihan dalam aspek modal, teknologi maklumat dan perindustrian.
Pegawai Republik Korea menyatakan bahawa topik utama perbincangan antara Lee Myung-bak dengan Dmitry Medvedev meliputi bekalan gas asli Rusia kepada Republik Korea dalam jangka panjang, bersama-sama meneroka sumber perlombongan di Semenanjung Kamchatka dan minyak di kawasan barat, membincangkan projek kerjasama pembinaan saluran paip minyak bahagian timur Siberia dan landasan kereta api yang menyambung Semenanjung Korea, Siberia dengan Eropah. Selain itu, Lee Myung-bak juga menyeru agar Dmitry Medvedev menyokong syarikat-syarikat Republik Korea menyertai projek pembinaan sistem pengangkutan dan infrastruktur di Vladivostok, tempat penganjuran Sidang Tidak Rasmi Pemimpin APEC 2012.
Kedua, kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam isu nuklear Semenanjung Korea. Sebelum lawatannya ke Rusia, Lee Myung-bak telah menyeru agar Rusia memainkan peranan yang lebih besar dalam Rundingan Enam Pihak untuk menggalakkan kedamaian Asia Timur Laut ketika isu tersebut menghadapi kebuntuan. Pihak media Republik Korea menganggap, pendirian kedua-dua negara dalam isu tersebut hampir sama, iaitu setiap pihak yang terlibat dalam Rundingan Enam Pihak perlu melaksanakan perjanjian dan kewajipan yang sudah ditetapkan. Maka, kerjasama kedua-dua negara tersebut amat bererti.
|