Sukan Olimpik dan Paralimpik Beijing telah ditutup dengan jayanya. Kedua-dua temasya sukan itu bukan sahaja telah meninggalkan kenangan yang manis kepada orang ramai. Selain itu gelanggang-gelanggang yang bertaraf tinggi akan terus berkhidmat kepada rakyat. Dalam tempoh cuti Hari Kebangsaan China, beberapa gelanggang Sukan Olimpik di Beijing dibuka kepada orang awam supaya lebih ramai orang dapat mengimbas kembali suasana meriah Sukan Olimpik dan menikmati hasil Sukan Olimpik.
Kegembiraan orang ramai terhadap Sukan Olimpik masih kekal walaupun Sukan Olimpik dan Paralimpik Beijing telah ditutup tirainya. Untuk memenuhi permintaan pelancong dari dalam dan luar negara, beberapa gelanggang Sukan Olimpik di Beijing dibuka kepada orang awam dalam tempoh cuti Hari Kebangsaan China. Gelanggang tersebut termasuk kawasan pusat Olimpik dalam Taman Olimpik, Stadium Negara yang juga dikenali sebagai "Sarang Burung", Pusat Akuatik Negara yang juga dikenali "Kubus Air", Gimnasium Negara dan Taman Hutan Olimpik serta enam kompleks gelanggang Sukan Olimpik yang lain.
Dalam sidang akhbar tentang perkara tersebut, Ketua Setiausaha Jawatankuasa Pengawalan Kawasan Awam Taman Olimpik, Encik Wang Chun berkata:
"Dalam tempoh cuti Hari Kebangsaan China, Taman Olimpik akan dibuka secara rasmi kepada orang awam supaya lebih ramai orang dapat mengimbas kembali suasana Sukan Olimpik dan menikmati hasil Sukan Olimpik."
Pelancong boleh memasuki kawasan pusat Olimpik dengan tiket percuma, jika mahu mengunjungi gelanggang di kawasan itu perlu membeli tiket dulu. Menurut Encik Wang Chun, setiap hari sebanyak 125 ribu tiket untuk mengunjungi kawasan pusat Olimpik akan diberikan secara percuma kepada pelancong dan penduduk Beijing melalui Jabatan Pentadbiran Pelancongan Beijing dan Jabatan Pembangunan Tamadun Beijing. Di dalam kawasan pusat Olimpik, pelancong dapat mengunjungi pameran gambar Sukan Olimpik, pameran pakaian dan alat yang digunakan dalam persembahan upacara penutup Sukan Olimpik dan pameran lain. Pengunjung yang hendak mengunjungi "Sarang Burung", "Kubus Air" dan Gimnasium Negara perlu membeli tiket dulu, harga tiket itu berbeza iaitu dari 20 yuan hingga 50 yuan RMB.
Selepas mengetahui maklumat tentang kawasan pusat Olimpik dibuka kepada orang awam, Encik Chen Jingfeng, seorang penduduk Beijing, sama dengan ramai orang yang lain, hendak mengadakan kunjungan ke sana. Beliau memberitahu wartawan:
"Sudah lama saya hendak mengunjungi 'Sarang Burung' dan 'Kubus air', tetapi tiket Sukan Olimpik susah dibeli. Sekarang sudah berpeluang untuk pergi ke sana walaupun Sukan Olimpik telah ditutup. Kunjungan itu tentu akan menjadikan saya mengimbas kembali saat yang manis dari Sukan Olimpik."
Selain Taman Olimpik, enam kompleks gelanggang pertandingan dan latihan Sukan Olimpik yang lain turut dibuka kepada orang awam. Penduduk boleh menjalankan latihan sukan dalam gelanggang tersebut. Enam kompleks gelanggang itu termasuk gelanggang acara sukan musim sejuk, gelanggang acara menambak dan memanah, gelanggang latihan Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China, gelanggang di Pusat Sukan Olimpik Negara, gelanggang basikal dan lawan pedang dan gelanggang di Universiti Sukan Beijing.
Gelanggang Sukan Olimpik dibuka kepada orang awam bukan sahaja akan memudahkan orang awam untuk riadah, tetapi juga akan mendorong perkembangan sukan di kalangan penduduk.
|