Sempena sambutan Hari Kebangsaan China ini, ramai orang China memilih untuk pergi melancong pada cuti panjang selama tujuh hari. Sejak sekian lama, Beijing merupakan destinasi pelancongan yang diminati ramai. Sukan Olimpik Beijing yang baru dilabuhkan tirainya telah meningkatkan lagi populariti bandar raya ini dan menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Sukan Olimpik Beijing sudah berakhir dengan penuh kejayaan, namun keghairahan orang ramai terhadap temasya sukan ini masih kekal. Ramai yang tidak ada peluang menyaksikan sendiri pertandingan temasya sukan ini berharap dapat mengunjung ke venue-venue Sukan Olimpik yang terkemuka di Beijing dalam cuti panjang ini. Antara tempat yang mesti dilawati ialah Stadium Nasional yang dikenali sebagai Sarang Burung dan Pusat Akuatik Nasional atau Kubus Air. Encik Wu Li dari bandar Guangzhou, selatan China ialah salah seorang daripada mereka. Kata beliau,
"Stadium Nasional 'Sarang Burung' ialah destinasi pertama yang saya lawati setelah tiba di Beijing. Stadium ini memang hebat dan gagah tersergam. Baik reka bentuk mahupun seni binanya kelihatan indah sekali. Walaupun sudah nampak ia dalam TV, namun saya tetap amat kagum apabila melihat dengan mata kepala sendiri."
Setelah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, Beijing telah meningkatkan usaha untuk memperbaiki kemudahan dan persekitaran pelancongan. Kini, terdapat 800 buah hotel di Beijing mampu menawarkan 130 ribu buah bilik untuk para pelancong. Untuk memudahkan perjalanan orang ramai, sistem pengangkutan di bandar raya ini turut disempurnakan dengan ditambah tiga laluan kereta api bawah tanah. Sementara itu, beberapa destinasi pelancongan yang terkemuka di Beijing seperti Kota Larangan, Istana Musim Panas dan Taman Tiantan juga dibaik pulih dengan dilengkapkan kemudahan-kemudahan yang mesra orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, beberapa tempat tarikan pelancongan yang dibina khusus untuk Sukan Olimpik akan terus dibuka kepada orang awam setelah Sukan Olimpik berakhir. Misalnya, "Kedai Artisan Beijing" yang dipuji oleh Presiden Pertubuhan Pelancongan Sedunia, Eric Duluc sebagai "Muzium Louvre China" kini menjadi tumpuan utama para pelancong yang melawat bandar raya ini. Di sana, proses menghasilkan kraftangan rakyat China seperti cloisonne atau "Jingtailan" dan guntingan kertas dipertontonkan kepada para tetamu. Petugas kedai itu, Puan Zhang Aihua menyatakan bahawa,
"Kedai ini bagaikan sebuah muzium hidup kerana ada seniman-seniman menunjukkan cara menghasilkan pelbagai kraftangan rakyat China kepada para pengunjung. Kesemua seni kraftangan yang kami pamerkan di sini merupakan warisan budaya bukan benda yang amat berharga".
Menurut pengalaman, penganjuran Sukan Olimpik akan merancakkan industri pelancongan bandar-bandar yang menjadi tuan rumah. Naib Datuk Bandar Beijing, Encik Ding Xiangyang menyatakan bahawa Sukan Olimpik telah menyediakan peluang keemasan kepada sektor pelancongan Beijing. Pihak-pihak berkenaan hendaklah menggunakan peluang ini untuk melonjakkan sektor ini ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Sukan Olimpik berjaya meningkatkan imej China di arena antarabangsa, lebih-lebih lagi bandar Beijing. Sehubungan itu, daya tarikan bandar raya ini turut meningkat. Sektor pelancongan Beijing hendaklah menangkap peluang keemasan ini untuk mengembangkan perniagaan mereka, sama ada dalam bidang pakej pelancongan, cara operasi mahupun taraf perkhidmatan, agar dapat menjadi destinasi pelancongan yang paling popular di Asia malah seluruh dunia."
|