Forum Rusia-Jerman diadakan di St. Petersburg, Rusia semalam. Presiden Rusia Dmitry Medvedev dan Canselor Jerman, Angela Merkel menghadiri forum itu dan mengadakan pertemuan. Sejak konflik ketenteraan berlaku antara Rusia dan Georgia tentang masalah Ossetia Selatan pada Ogos lalu, hubungan Rusia dan Jerman menjadi tegang disebabkan pendirian yang berbeza terhadap masalah itu. Maka, sama ada pertemuan tersebut dapat memulihkan hubungan kedua-dua negara itu atau tidak menarik perhatian ramai.
Forum Dialog Rusia-Jerman St. Petersburg pertama diadakan pada tahun 2001 dengan tujuan untuk meningkatkan komunikasi antara rakyat
kedua-dua negara. Sejak itu, forum itu diadakan setahun sekali. Antara topik utama pertemuan pemimpin kedua-dua negara kali ini ialah hubungan Rusia dengan Jerman selepas konflik Rusia-Georgia, membentuk mekanisme baru keselamatan bersama Eropah serta kerjasama dalam bidang sumber tenaga, ekonomi dan perdagangan. Selain itu, Dmitry Medvedev dan Angela Merkel juga bertukar-tukar pendapat tentang kerjasama Rusia dengan NATO, pengawalan senjata pemusnah besar-besaran, situasi Asia Barat, isu nuklear Iran serta pembanterasan keganasan, penyeludupan dan pengedaran dadah.
Penganalis mendapati bahawa Dmitry Medvedev dan Angela Merkel mempunyai pandangan yang tidak sama dalam ucapan masing-masing dalam forum itu. Dmitry Medvedev menyanjung tinggi hubungan dua hala dan kerjasama yang telah dijalankan oleh kedua-dua negara. Beliau berkata, walaupun perselisihan wujud antara kedua-dua negara, tetapi mereka akan mengambil kira kepentingan bersama. Angela Merkel dalam ucapannya menyatakan bahawa Jerman dan Rusia mempunyai pendirian yang berbeza pada isu konflik Rusia dengan Georgia. Namun, Jerman bersetuju untuk mewujudkan semula hubungan yang saling mempercayai dengan Rusia.
Jerman mempunyai pengaruh penting bagi Rusia dalam hubungannya dengan Eropah. Disebabkan pengaruh NATO dan Kesatuan Eropah yang kian besar, peningkatan hubungan dengan Jerman amat penting bagi Rusia. Hubungan Rusia-Jerman yang baik itu dapat membantu Rusia menangani tekanan dari NATO dan Kesatuan Eropah (EU). Selain itu, Rusia telah banyak kali menganjurkan cadangan untuk membentuk mekanisme keselamatan bersama Eropah dengan tujuan menyekat pengaruh NATO ke timur dan menyeimbangkan kuasa A.S. di rantau itu.
Di samping itu, Rusia juga amat penting bagi Jerman. Rusia merupakan rakan dagang yang besar bagi Jerman. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, jumlah perdagangan kedua-dua negara meningkat 20% purata setiap tahun. Yang paling penting, penggunaan tenaga Jerman tergantung kepada pembekalan Rusia. Lebih 40% gas asli yang diperlukan oleh Jerman adalah dibekalkan oleh Rusia. Untuk memelihara kepentingan sendiri, Jerman kadang-kadang memainkan peranan orang tengah antara EU dengan Rusia.
Penganalisis menyatakan, perselisihan dan kepentingan bersama tetap wujud dalam hubungan Rusia - Jerman. Walaupun krisis Ossetia Selatan pernah mengancam hubungan kedua-dua negara itu, tetapi hubungan dua hala Rusia-Jerman tidak terjejas pada asasnya dan hubungan itu mungkin dapat diperbaiki. Pertemuan pemimpiny Rusia-Jerman dijangka akan menggalakkan hubungan kedua-dua negara.
|