Kongres Kebangsaan Wanita China Ke-10 akan diadakan di Beijing pada penghujung bulan Oktober ini. Naib Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita Seluruh China, Puan Huang Qingyi baru-baru ini menyatakan bahawa usaha kaum wanita mengekalkan trend perkembangan yang baik beberapa tahun kebelakangan ini dengan penyempurnaan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengannya, penyediaan latihan untuk membantu kaum wanita memajukan usaha mereka dan pelbagai program amal. Pada masa yang sama, kaum wanita juga memainkan peranan yang semakin penting dalam bidang ekonomi dan pembangunan masyarakat di China.
Puan Huang Qingyi memaklumkan: "Kini, kaum wanita mewakili 45.4% daripada jumlah warga yang mempunyai pekerjaan di seluruh negara, manakala taraf pekerjaan mereka juga terus meningkat dari semasa ke semasa. Usahawan wanita mencatat kadar kira-kira 20% daripada jumlah seluruh usahawan di China. Di samping itu, jurang perbezaan taraf pendidikan antara kaum lelaki dengan wanita juga semakin berkurang."
Persatuan wanita di pelbagai tempat di China telah mengambil beberapa pendekatan secara terancang untuk menangani pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi oleh wanita dalam kegiatan mereka.. Demi mengecilkan jurang perbezaan di kalangan wanita di pelbagai tempat, pihak persatuan wanita telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan perkembangan yang seimbang antara usaha kaum wanita di seluruh negara. Puan Huang Qingyi memaklumkan, dalam tempoh 5 tahun yang lalu, persatuan wanita di pelbagai peringkat telah membantu menubuhkan lebih 260 ribu buah pangkalan untuk menyediakan latihan kepada kaum wanita. Kata beliau: "Pangkalan-pangkalan tersebut telah memberikan latihan dalam pelbagai bidang kepada 120 juta orang wanita dan membantu lebih 13 juta orang wanita mendapatkan pekerjaan. "
Selain itu, persatuan wanita di pelbagai tempat juga giat membantu usaha penggubalan peraturan bagi mengatasi masalah kekejaman dalam keluarga. Kini, peraturan yang berkenaan telah dikuatkuasakan di 25 buah provinsi dan bandar di China. Naib Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita Seluruh China, Puan Chen Xiurong berkata: "Pihak persatuan wanita juga bekerjasama dengan pihak polis dan badan kehakiman untuk menubuhkan pusat antikekejaman dalam keluarga dan badan-badan yang bertanggungjawab menerima aduan dan memberikan bantuan. Gabungan Persatuan Wanita Seluruh China juga telah menubuhkan laman sesawang dan tabung khas yang bertujuan untuk melindungi kepentingan kaum wanita dan memberikan bantuan undang-undang kepada mereka."
|