Setiausaha Negara A.S., Condoleeza Rice telah mengakhiri lawatannya di India dan Kazakhstan baru-baru ini. Walaupun gagal mencapai tujuan asalnya ke India iaitu menandatangai perjanjian kerjasama tenaga nuklear untuk kegunaan awam dengan India, namun beliau berjaya mempromosi syarikat teknologi nuklear A.S. kepada negara itu. Ketika melawat di Kazakhstan, beliau menegaskan bahawa A.S. mengekalkan hubungan baik dengan Kazakhstan bukanlah bertujuan untuk berebut pengaruh di Asia Tengah dengan Rusia. Namun, ada penganalisis berpendapat bahawa kenyataannya itu tidak jujur kerana lawatannya ke Asia kali ini justeru untuk meningkatkan kepentingan politik dan ekonomi A.S. di rantau ini.
Sebenarnya, tujuan utama lawatan Rice ke India kali ini adalah untuk menandatangani perjanjian kerjasama tenaga nuklear untuk kegunaan awam dengan India yang diluluskan oleh Kongres A.S. pada awal bulan ini. Namun disebabkan Presiden A.S., George W. Bush pun tidak menandatangani secara rasmi perjanjian itu, akhirnya India memutuskan untuk membatalkan sahaja upacara untuk menandatangani perjanjian yang berkenaan. Dengan yang demikian, tujuan asal lawatan tersebut gagal dicapai. Rice menyatakan bahawa kelulusan perjanjian tersebut membuktikan bahawa hubungan yang lebih erat terjalin antara kedua-dua negara. Menteri Luar India, Pranab Mukherjee pula menegaskan bahawa hubungan persahabatan kedua-dua negara telah melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi.
Ada penganalisis berpendapat bahawa walaupun tujuan Rice ke India gagal dicapai, namun, beliau berjaya mempromosi syarikat teknologi nuklear A.S. kepada India. Menurut perjanjian kerjasama tenaga nuklear untuk kegunaan awam A.S.-India, dalam tempoh 15 tahun akan datang, A.S. akan membina 18 hingga 20 buah loji nuklear di India, yang melibatkan pelaburan sebanyak 27 bilion dolar Amerika.
Selepas meninggalkan India, Rice telah melawat Kazakhstan untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin negara itu tentang hubungan dua hala, kerjasama dalam bidang tenaga dan pembangunan semula Afghanistan. Rice menyatakan bahawa A.S. tidak berniat untuk berebut pengaruh di Asia Tengah dengan Rusia. Pihak Moskow pula amat sensitif dengan lawatan pegawai A.S. ke wilayah bekas anggota Kesatuan Soviet itu, dan mengutuk negara-negara Barat yang ingin mencuba memperluas pengaruh mereka dalam kalangan rakan sekutunya. Rice menyatakan bahawa usaha A.S. mengembangkan hubungannya dengan negara-negara Asia Tengah tidak menyasarkan mana-mana pihak, bukanlah bertujuan untuk merosakkan kepentingan jangka panjang Rusia di rantau ini. Namun Associated Press (AP) berpendapat bahawa tujuan lawatan Rice kali ini justeru untuk mengekang pengaruh Rusia di rantau ini.
Sejak berlakunya konflik antara Rusia dengan Georgia, kerajaan Bush dengan segera meningkatkan perhubungannya dengan kawasan Caucasus dan negara-negara Asia Tengah dengan memberikan beberapa janji kepada mereka. Pada bulan lalu, Naib Presiden A.S., Dick Cheney sudah pun melawat Georgia, Ukrain dan Azerbaijan. Lawatan Rice kali ini menimbulkan lagi kesangsian dunia luar terhadap tujuan sebenar A.S.. Penganalisis berpendapat bahawa kenyataan Rice itu dibuat setelah mempertimbangkan geopolitik di rantau Asia Tengah serta hubungan erat antara Kazakhstan dengan Rusia. Setelah berlakunya konflik antara Rusia dengan Georgia, timbul banyak tanda yang menunjukkan bahawa wilayah bekas anggota Kesatuan Soviet itu kian terpengaruh oleh Rusia. Kazakhstan juga telah menyatakan sokongannya terhadap operasi ketenteraan Rusia. Namun, sejak sekian lama, Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev sentiasa berusaha memelihara keseimbangan dasar luarnya. Tokoh kumpulan pemikir Washington menyatakan bahawa kerajaan Bush tidak ingin meninggalkan satu imej yang mereka kehilangan pengaruh di kawasan Caucasus dan Asia Tengah. Maka, Kazakhstan menjadi sebiji "buah catur" yang amat penting.
Selain itu, satu lagi tujuan lawatan Rice ke Kazakhstan kali ini adalah untuk memperkukuh kerjasamanya dengan negara-negara Asia Tengah yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Peranan strategik Kazakhstan di kawasan ini kian menonjol setelah berlakunya konflik antara Rusia dengan Georgia. Maka, tujuan sebenar lawatan Rice ke Kazakhstan kali ini memang boleh dikatakan untuk meningkatkan kepentingan politik dan ekonomi A.S. di rantau Asia Tengah.
|