Kementerian Luar Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) semalam mengalu-alukan tindakan A.S. yang mengeluarkan DPRK dari senarai "negara yang menyokong keganasan". Namun, Republik Korea dan Jepun membuat respons yang berbeza. Media massa berpendapat bahawa rundingan tentang masalah nuklear Semenanjung Korea yang menemui jalan buntu itu telah mencapai kemajuan yang besar.
Jurucakap Jabatan Negara A.S., Sean McCormack mengumumkan kelmarin bahawa kerana A.S. dan DPRK mencapai persetujuan dalam perjanjian tentang masalah pemeriksaan kemudahan nuklear Semenanjung Korea, maka A.S. memutuskan akan mengeluarkan DPRK dari senarai "negara yang menyokong keganasan". Beliau juga berkata bahawa DPRK akan terus melupuskan fungsi kemudahan nuklear Yongbyon, dan mengizinkan pemeriksa A.S. dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menerusikan tugas mereka di Yongbyon. Menurut perjanjian yang dicapai oleh A.S. dan DPRK ketika Penolong Setiausaha Negara A.S., Christopher Hill melawat DPRK pada 1 Oktober lalu, pemeriksaan akan dibuat terhadap rancangan nuklear Semenanjung Korea termasuk projek Plutonium dan semua program nuklear yang lain yang berkaitan pengayaan dan peluasan uranium. Jika A.S. dan DPRK bersetuju, pakar dari negara-negara yang terlibat dalam Rundingan Enam Pihak akan masuk ke semua kemudahan yang telah diumumkan ataupun yang belum. Kedua-dua pihak juga bersetuju menggunakan cara saintifik untuk proses pemeriksaan seperti mengambil sampel dan pemeriksaan oleh doktor forensik. Sean McCormack berkata bahawa perjanjian dan persetujuan tersebut telah dilaporkan kepada negara-negara anggota Rundingan Enam Pihak dan akan menjadi asas perjanjian pemeriksaan nuklear berkenaan yang diluluskan oleh negara-negara anggota Rundingan Enam Pihak itu.
Jurucakap Kementerian Luar DPRK membuat respons terhadap ucapan Sean McCormack tersebut semalam dan menyatakan bahawa A.S. telah mematuhi jaminan pampasan politik, di samping kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan tentang "mekanisme pemeriksaan yang memenuhi syarat dan adil dalam fasa pelupusan fungsi". Jika perjanjian yang dicapai oleh Rundingan Enam Pihak pada 3 Okotober tahun 2007 dapat dilaksanakan secara menyeluruh, DPRK akan mengambil sikap yang bekerjasama dalam kerja "pemeriksaan pelupusan fungsi nuklear".
Republik Korea dan Jepun pula membuat respons yang berbeza semalam. Ketua delegasi Republik Korea yang menyertai Rundingan Enam Pihak, Kim Sook menyatakan bahawa Republik Korea mengalu-alukan tindakan A.S. yang akan mengeluarkan DPRK dari senarai "negara yang menyokong keganasan", dan berharap supaya Rundingan Enam Pihak dapat diadakan dalam tempoh terdekat. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan Republik Korea berpendapat tindakan A.S. tersebut akan membuka ruang untuk memulihkan Rundingan Enam Pihak dan mendorong DPRK supaya bebas daripada senjata nuklear. Namun, Jepun tidak menyokong tindakan A.S. tersebut sehinggalah masalah peculikan tebusan diselesaikan. Menteri luar Jepun, Hirofumi Nakasone menyatakan bahawa Jepun akan terus bekerjasama dengan negara-negara berkenaan untuk berusaha menandatangani dokumen yang berkaitan dengan rangka pemerikaan yang konkrit seawal mungkin.
Beberapa orang sarjana dari A.S. dan Republik Korea berpendapat bahawa tindakan A.S. yang mengeluarkan DPRK dari senarai "negara yang menyokong keganasan" itu hanya merupakan satu langkah dalam proses menjadikan DPRK bebas daripada senjata nuklear. Matlamat tersebut masih amat sukar dicapai, prosesnya mungkin akan memakan masa beberapa tahun. DPRK dan A.S. mungkin akan berselisih faham tentang isu pemeriksaan. Anggota Rundingan Enam Pihak juga mungkin akan mengadakan perbincangan tentang masalah tersebut bagi satu jangka masa yang panjang. Pegawai A.S. telah menyatakan bahawa jika DPRK tidak bekerjasama tentang isu pemeriksaan, A.S. akan menyenaraikan semula DPRK dalam senarai hitam "negara yang menyokong keganasan". Kalau keadaan tersebut berlaku, isu nuklear Semenanjung Korea akan menemui jalan buntu lagi.
|