v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Rundingan Penyelesaian Pertikaian Sempadan Thailand-Kemboja Disambung semula

2008-10-14 14:26:55 CRI

Krisis politik di Thailand sudah berlarutan selama lebih sebulan. Menteri Luar Thailand yang baru, Sompong Amornvivat telah mengadakan rundingan tentang isu sempadan dengan Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Hor Nam Hong semalam. Selepas rundingan itu berakhir, Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja telah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa kedua-dua negara memutuskan untuk menyambung semula rundingan dua hala tentang isu pertikaian sempadan itu, dan jadual untuk menyelesaikan isu itu secara damai sudah pun ditetapkan.

Kenyataan itu menyebut bahawa kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan pada 21 hingga 24 haribulan Oktober ini untuk membincangkan isu pengunduran tentera dari kawasan sempadan tersebut. Selepas itu, Jawatankuasa Sempadan Bersama akan mengadakan sidang pada 3 hingga 7 November tahun ini untuk membincangkan isu penetapan garis sempadan. Menteri Luar kedua-dua negara akan berunding sekali lagi pada 19 hingga 20 November ini supaya pertikaian ini dapat diselesaikan secara muafakat.

Dalam sidang akhbar semalam, Hor Nam Hong menyatakan bahawa pihak Kemboja amat memahami krisis politik yang dialami oleh Thailand pada masa ini. Namun, pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu perlu diselesaikan dengan secepat mungkin. Jika tidak, Kemboja akan membatalkan mekanisme rundingan dua hala, dan mencari pihak ketiga seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Hague sebagai orang tengah.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand telah mencetuskan konflik ketenteraan di kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear bermula bulan Jun lalu. Melalui rundingan beberapa kali antara Kementerian Luar kedua-dua negara, konflik itu sudah dileraikan. Namun, pertikaian sempadan masih gagal diselesaikan. Sejak krisis politik tercetus di Thailand, bermula pada penghujung Ogos lalu, rundingan dua hala ini telah ditangguhkan.

Sepanjang bulan lalu, Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) Thailand yang antikerajaan telah memberikan tekanan kepada kerajaan bertalu-talu. Pada 26 Ogos lalu, penyokong PAD telah menyerbu masuk ke perkarangan pejabat Perdana Menteri. Setelah berlaku peristiwa berdarah antara penyokong PAD dengan penyokong kerajaan pada 2 September lalu, bekas Perdana Menteri, Samak Sundaravej terus mengisytiharkan keadaan darurat di Bangkok. Pada keesokan harinya, bekas Menteri Luar yang bertanggungjawab terhadap rundingan sempadan dengan Kemboja, Tej Bunnag meletakkan jawatannya kerana tidak mampu menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak. Dengan yang demikian, rundingan sempadan dengan Kemboja terpaksa ditangguhkan.

Selepas Somchai Wongsawat menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri baru pada 25 September lalu, kerajaan baru Thailand tetap dibebani tekanan besar daripada penyokong PAD. Setelah peristiwa berdarah yang serius berlaku antara pihak polis dengan penunjuk perasaan PAD pada 7 September lalu, bekas Naib Perdana Menteri, Chavalit Yongchaiyudh turut mengumumkan peletakan jawatannya. Somchai Wongsawat juga berhadapan dengan kemungkinan digulingkan daripada jawatannya.

Pada hakikatnya, krisis politik yang berlarutan sekian lama bukan sahaja menjejaskan ekonomi Thailand, malah memberikan kesan yang besar kepada urusan luar negara itu. Agenda melawat Kemboja yang dirancang oleh Somchai Wongsawat sejak beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand terpaksa dibatalkan akibat krisis politik di negara itu.

Usaha menyambung semula rundingan sempadan ini diramalkan amat membantu bagi mengalihkan perhatian rakyat Thailand. Namun, sama ada kerajaan Somchai boleh terus beroperasi selepas rundingan itu berakhir atau tidak, masih samar-samar lagi.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |