Presiden Syria, Bashar Al-Assad telah mengeluarkan perintah semalam bagi menjalinkan hubungan diplomatik peringkat duta besar dengan Lubnan. Hal ini menandakan bahawa Syria mengiktiraf Lubnan sebagai sebuah negara yang berdaulat. Namun, penjalinan hubungan yang normal antara kedua-dua negara tersebut masih memerlukan masa yang panjang.
Menteri Luar Lubnan, Fawzi Salloukh dijadualkan melawat Syria hari ini untuk membincangkan butir-butir mengenai penjalinan hubungan diplomatik itu dengan rakan sejawatnya dari Syria, Walid Al-Moallem.
Penjalinan hubungan diplomatik peringkat duta besar dengan Syria ini telah mendapat reaksi yang positif daripada pelbagi pihak di Lubnan. Presiden Lubnan, Michel Suleiman dan Perdana Menteri, Fuad Siniora telah menyatakan harapan mereka agar usaha ini dapat membuka lembaran baru dalam perkembangan hubungan kedua-dua negara. Pemimpin puak Druze, Walid Jumblatt menyatakan bahawa usaha ini merupakan titik permulaan bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara ke arah yang lebih sihat.
Ada penganalisis berpendapat bahawa selepas Syria dan Lubnan mengumumkan kemerdekaan masing-masing lebih 60 tahun lalu, Syria akhirnya mengakui Lubnan sebagai sebuah negara yang berdaulat. Inilah satu petanda penting dalam perkembangan hubungan kedua-dua negara ini.
Sejak Syria dan Lubnan mengumumkan kemerdekaan masing-masing pada tahun 1940-an, Syria sentiasa menganggap Lubnan sebagai wilayah tanggungannya. Setelah tentera Syria ditempatkan di wilayah Lubnan dengan nama "pasukan pertahanan Arab" pada tahun 1976, negara itu telah melaksanakan kawalan menyeluruh terhadap Lubnan selama hampir 30 tahun. Tentera Syria baru berundur sepenuhnya dari Lubnan menjelang April tahun 2005.
Selepas tamatnya krisis politik di Lubnan, hubungan kedua-dua negara yang sebelum ini menjadi tegang berikutan peristiwa terbunuhnya Bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri, mula menjadi reda. Pemimpin kedua-dua negara telah mengumumkan keputusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik peringkat duta besar di Damsyik pada bulan Ogos lalu. Terjalinnya hubungan diplomatik secara rasmi ini bukan sahaja bermanfaat bagi mewujudkan hubungan dua hala yang saling menghormati dan muafakat bestari antara kedua-dua negara tersebut, malah menyumbang kepada kestabilan di seluruh rantau Asia Barat.
Bagi Syria, usaha ini juga amat baik untuk membantu memulihkan hubungannya dengan negara-negara Barat yang sebelum ini menjadi buruk berikutan peristiwa terbunuhnya Bekas Perdana Menteri Lubnan itu. Pada hakikatnya, dengan tamatnya krisis politik di Lubnan dan pulihnya hubungannya dengan Lubnan, hubungan antara Syria dengan Perancis sudah pun diperbaiki.
Selain itu, usaha ini juga membuktikan bahawa Syria tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Lubnan lagi. Ini dapat menghapuskan kebimbangan dunia luar terhadap tindakannya yang menambah tentera di kawasan sempadan kedua-dua negara baru-baru ini. Pada 22 September lalu, Syria telah menambah kira-kira 10 ribu orang tentera di kawasan sempadannya dengan Lubnan. Ini telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Sejak bulan Mei lalu, pertempuran antara puak Sunnah dan puak Alawi kerap berlaku di kawasan Tripoli, utara Lubnan. Pertempuran itu telah mengakibatkan beberapa puluh orang terbunuh. Puak Majoriti Lubnan berpendapat bahawa tindakan Syria tersebut berniat untuk sekali lagi menempatkan tenteranya di Lubnan dan mencampuri urusan dalaman negara itu. Mengenai dakwaan ini, pihak Syria pula menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah untuk membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.
Ada penganalisis berpendapat bahawa walaupun Syria telah mengumumkan penjalinan hubungan diplomatik dengan Lubnan, namun, untuk mewujudkan hubungan yang normal, masih memerlukan jangka masa yang panjang. Cara menguruskan hubungan dengan Syria pasti akan memberikan kesan terhadap prospek hubungan kedua-dua negara pada masa akan datang.
|