Masyarakat antarabangsa memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pertempuran singkat tercetus antara tentera Thailand dengan Kemboja di sekitar Kuil Preah Vihear yang terletak di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Menurut Menteri Diplomatik dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Hor Namhong, tentera Thailand terlebih dahulu melepaskan tembakan petang semalam sehingga tercetus pertempuran di kawasan barat sekitar Kuil Preah Vihear antara tentera kedua-dua negara. Pertempuran ini mengakibatkan dua orang terkorban dan dua orang lagi cedera, sementara tentera Kemboja menahan 10 orang askar Thailand. Katanya, situasi kawasan sempadan tenang semula pada masa kini.
Menteri Luar Thailand, Sompong Amornvivat pula menyatakan beliau telah menelefon Hor Namhong dan mereka sama-sama berasa kesal terhadap perkara ini dan bersetuju mengadakan rundingan dua hala untuk menyelesaikan pertikaian sempadan ini.
Ini merupakan kali kedua tercetusnya pertempuran antara tentera Kemboja dengan Thailand sejak 3 Oktober lalu. Kementerian Luar Singapura telah mengeluarkan kenyataan semalam menyeru kedua-dua pihak bertenang supaya dapat menyelesaikan pertikaian melalui rundingan.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyeru pelbagai pihak memulakan dialog dengan secepat mungkin supaya menyelesaikan perselisihan secara damai.
|