Mesyuarat Menteri-Menteri Penerangan China-ASEAN kedua selama sehari telah diadakan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi hari ini. Mesyuarat kali ini bertema "Meningkatkan Pertukaran dalam Bidang Media, Mendorong Kerjasama China-ASEAN".
Sebagai hasil mesyuarat tersebut, China dan negara-negara anggota ASEAN telah menandatangani MoU Kerjasama dalam Bidang Maklumat dan Media. MoU ini dibuat bagi tujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang maklumat dan media dan juga untuk memperkukuh lagi asas hubungan rakan yang sedia wujud antara China dan ASEAN. Ia juga menandakan satu titik permulaan yang baru bagi kerjasama China-ASEAN dalam bidang tersebut.
Naib Menteri di Jabatan Penerangan Dewan Negara China, Encik Qian Xiaoqian dalam ucapannya berkata, pertukaran bahan berita dan kerjasama media memainkan peranan penting dalam usaha mengembangkan hubungan China dengan ASEAN. Peningkatan kerjasama ini bermanfaat bagi kedua-dua pihak bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Para Menteri yang menyertai mesyuarat kali ini masing-masing menyatakan bahawa maklumat dan media merupakan peralatan yang penting bagi kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan sosial, meningkatkan pertukaran maklumat dan kerjasama media akan mempertingkatkan lagi persefahaman dan kerjasama China dengan ASEAN.
Menteri Penerangan Malaysia, Dato' Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya menyambut baik mekanisme mesyuarat menteri penerangan ini. Beliau yakin bahawa dengan adanya mekanisme tersebut, lebih banyak kerjasama boleh dilaksanakan seperti pertukaran kandungan, pertukaran personel, program latihan dan pembangunan bersama kandungan.
Seramai kira-kira 120 orang wakil dari 10 negara anggota ASEAN, sekretariat ASEAN dan China telah menghadiri mesyuarat hari ini.
|