v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pemimpin-Pemimpin EU Tunjukkan Sikap Bersatu Padu dalam Sidang Kemuncak EU

2008-10-17 14:18:52 CRI

Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU) musim gugur sudah dilabuhkan tirainya di Brussels, Belgium petang semalam. Pemimpin dari 27 buah negara EU telah mencapai persepakatan untuk bersama-sama menangani krisis kewangan yang kian meruncing pada masa ini berasaskan pelan tindakan yang disusun dalam sidang kemuncak kawasan Euro pada 12 Oktober lalu. Inilah kali pertama pemimpin-pemimpin EU menunjukkan sikap bersatu padu ketika berhadapan dengan krisis global. Keadaan ini telah membuktikan makin tingginya kebergantungan mereka terhadap EU untuk mengatasi kesukaran.

Berdepan dengan krisis kewangan yang kian serius ini, negara-negara anggota EU sudah mengambil tindakan pencegahan yang tertentu secara berasingan sejak awal-awal lagi. Namun, kesannya amat terhad. Sebelum berlangsungnya sidang ini, Presiden Suruhanjaya EU, Jose Manuel Barroso telah menyatakan bahawa tindakan secara bersendirian oleh mana-mana negara akan menjejaskan keseluruhan kepentingan EU. Kenyataan pengerusi yang dikeluarkan selepas sidang ini berakhir, menyebut bahawa pemimpin-pemimpin EU telah bersetuju untuk mengambil tindakan yang berkesan untuk membina semula sistem kewangan sebagai penjana ekonominya. Di samping itu, tindakan juga akan diambil untuk merangsang ekonomi dan menambah peluang pekerjaan. Kenyataan tersebut menyeru pihak-pihak yang berkenaan supaya meningkatkan kawal selia terhadap institusi-institusi kewangan, terutamanya syarikat-syarikat transnasional.

Ketika menyeru pelbagai negara supaya mengambil tindakan untuk menstabilkan pasaran kewangan, tumpuan pemimpin-pemimpin EU tidaklah terhad kepada EU sahaja. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata bahawa masyarakat antarabangsa perlu melaksanakan pembaharuan terhadap sistem kewangan yang sedia wujud untuk mengelakkan krisis begini daripada berulang lagi. Beliau mencadangkan supaya diadakan sidang kemuncak global menjelang penghujung tahun ini untuk membincangkan isu pembaharuan terhadap sistem kewangan antarabangsa agar mendorong pembentukan satu orde kewangan antarabangsa yang serba baru. Dalam sidang akhbar semalam, beliau juga menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh negara-negara Eropah pada masa ini bukanlah krisis kewangan semata-mata. Impak krisis yang semakin hebat ini sedang mengundang kemunculan krisis ekonomi pula. Untuk mencegah kemelesetan ekonomi, kenyataan tersebut menggesa Suruhanjaya EU supaya mengeluarkan tindakan sokongan yang berkaitan menjelang penghujung tahun ini untuk membantu syarikat-syarikat EU memperhebat daya saing mereka di arena antarabangsa.

Perbincangan tentang pakej penyelesaian isu tenaga dan perubahan iklim juga menjadi fokus sidang ini. Di samping itu, isu tersebut juga memberikan cabaran kepada EU dalam usaha menyelaraskan dasar perlindungan alam sekitar. Ini berlaku kerana pada hari pertama sidang ini, sudah pun ada berita yang melaporkan bahawa rancangan EU mengenai penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan pencemaran mungkin gagal dicapai akibat tentangan dari pihak Itali dan Poland. Pada bulan Mac lalu, EU telah berjanji untuk mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 20% berbanding tahun 1990. Namun, Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menyatakan pendapatnya bahawa pelaksanaan rancangan ini akan menambah beban kewangan negara-negara yang bergelut dengan krisis kewangan sekarang. Dalam kenyataan tersebut, pemimpin-pemimpin EU meminta kerajaan Perancis dan Suruhanjaya EU supaya mengeluarkan dokumen-dokumen dasar yang bersesuaian dengan keadaan pelbagai negara dalam beberapa minggu akan datang. Kenyataan itu amat optimis terhadap tercapainya matlamat menghasilkan pakej tersebut menjelang bulan Januari tahun depan.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |