v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

China dan ASEAN Berganding Bahu untuk Hadapi Krisis Kewangan

2008-10-22 16:39:51 CRI

Ekspo China-ASEAN Ke-5 serta Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN Ke-5 berlangsung di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China hari ini. Dengan latar belakang pergolakan kewangan global kini, kedua-dua aktiviti ini yang bertujuan untuk menjayakan Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN diberi perhatian yang tinggi. Pegawai-pegawai kanan dari China dan ASEAN telah meluahkan hasrat mereka untuk bekerjasama menangani krisis kewangan sekarang.

Kini, krisis kewangan ekoran krisis gadai janji subprima sedang melanda seluruh dunia, manakala perkembangan entiti ekonomi utama menjadi perlahan, dan masa depan ekonomi global masih samar-samar. Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan dalam upacara perasmian Ekspo China-ASEAN itu menyatakan bahawa menjayakan kerjasama yang pragmatik merupakan strategi yang baik bagi menangani situasi ekonomi yang rumit sekarang ini. Menurut beliau: "Krisis kewangan global yang semakin meruncing menggugat pertumbuhan ekonomi negara-negara di dunia. Hanya dengan meningkatkan kerjasama, menyelaraskan penggunaan sumber dan mempercepat proses integrasi, barulah kita semua mampu menangani cabaran tersebut. Saya yakin, melalui kerjasama serantau yang semakin erat, kita boleh berjaya menghapuskan kesan negatif akibat krisis kewangan ini."

Disebabkan kemelesetan entiti ekonomi di A.S. dan Eropah, perkembangan eksport China dan ASEAN menjadi perlahan. Pakar menyatakan bahawa berdasarkan keadaan sekarang ini, proses membina Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN perlu dipercepat, dan kegiatan perdagangan dan pelaburan perlu digalakkan sebagai tindakan mengubah keadaan turunnya jumlah import kepada A.S. dan Eropah.

Pegawai Kementerian Perdagangan China menganggap bahawa Ekspo China-ASEAN bukan sahaja merupakan wahana yang penting bagi mendorong ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak, malahan pemangkin bagi menjayakan Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN. Sejak ekspo ini diadakan lima tahun yang lalu, kadar pertumbuhan jumlah perdagangan dua hala purata tahunan kekal pada 30%, dan nilai pada tahun lalu melebihi 200 bilion dolar Amerika. Berdasarkan rancangan yang berkenaan, sehingga tahun 2010 zon perdagangan bebas tersebut akan merupakan kawasan perdagangan bebas yang terdiri daripada negara-negara membangun yang terbesar di dunia.

Kerajaan China sedang giat meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara ASEAN bagi menghadapi krisis tersebut. Naib Perdana Menteri China, Wang Qishan telah mengemukakan cadangan tentang peningkatan kerjasama dua hala dalam upacara perasmian Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN ini. Beliau berkata: "Memandangkan keadaan ini, saya ingin mengemukakan cadangan seperti berikut: meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan, menjayakan Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN pada waktu yang ditetapkan, meningkatkan kerjasama subrantau, mempercepat proses integrasi, mengusahakan penerokaan kawasan ekonomi Teluk Beibu, serta meningkatkan penyelarasan dalam bidang kewangan, sumber tenaga, perlindungan persekitaran dan keselamatan bahan makanan."

Wang Qishan berkata bahawa China akan terus menggalakkan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, memudahkan kegiatan perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan kerjasama yang pragmatik dengan negara-negara jiran bagi mewujudkan pembangunan bersama serantau.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Dr. Ng Yen Yen yang mengetuai delegasi negara tersebut dalam ekspo kali ini menyatakan bahawa aktiviti tersebut merupakan satu wadah yang penting bagi China dan negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat serta peluang antara satu sama lain.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |