Baru-baru ini, China mula membuat pindaan terhadap Undang-Undang Menangani Bencana Gempa Bumi yang telah dikuatkuasakan sejak sepuluh tahun yang lalu. Rang pindaan akta tersebut sudah diserahkan kepada badan perundangan, iaitu Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China untuk dibahaskan. Dalam pindaan kali ini, China mengambil pengalaman menangani bencana gempa bumi Wenchuan, dan memasukkannya dalam undang-undang. Berdasarkan rang pindaan akta itu, China akan mempertingkat pembangunan sistem mencegah bencana gempa serta penyeliaan dan pengawalan terhadap wang dan barang bantuan. Pihak yang bertanggungjawab juga dikehendaki menghormati keperluan mangsa di kawasan bencana dalam penempatan sementara pascabencana.
Untuk menyelesaikan masalah yang dikesan dalam pelaksanaan undang-undang tersebut, China telah mula meminda akta ini sejak tiga tahun yang lalu. Rang pindaan akta ini sudah diserahkan kepada Dewan Negara pada bulan Mei lalu, dan dirancang untuk dibahaskan pada bulan Jun tahun ini juga. Namun, gempa bumi Wenchuan yang berlaku pada 12 Mei tahun ini mengakibatkan agenda tersebut ditangguhkan. Selepas mengumpulkan masalah yang dikesan dalam kerja-kerja menyelamat dan menyempurnakan tindakan dan pengalaman dalam pembangunan semula pascabencana, pihak yang berkenaan telah menyerahkan rang akta tersebut kepada badan perundangan secara rasmi baru-baru ini. Pengarah Jabatan Gempa Bumi Negara China, Chen Jianmin telah memaklumkan butir pindaan kali ini. Kata beliau,
"Asas pindaan kali ini adalah untuk membaiki bahagian undang-undang yang tidak sesuai dengan situasi baru, mewujudkan sistem tindakan yang berkesan dalam kerja-kerja menyelemat dan menangani bencana gempa bumi, contohnya tindakan yang berkesan dalam usaha penyelamatan ketika gempa bumi Wenchuan berlaku, mempertingkat pembangunan sistem pencegahan bencana gempa bumi, meningkatkan taraf perkhidmatan pasukan penyelamat dan taraf tahan gempa projek yang sedang dibina, meningkatkan keupayaan pimpinan kerajaan dan keupayaan penduduk ketika menghadapi bencana gempa bumi, untuk mengurangkan kerugian akibat gempa bumi."
Rang akta yang terdiri daripada 10 bab dan 99 fasal itu telah meminda dan menyempurnakan undang-undang yang dikuatkuasakan sekarang dari segi rangka struktur dan peraturan sebenar. Sebanyak 40 fasal mengenai perancangan mencegah dan mengurangkan bencana, penempatan sementara pascagempa serta penyeliaan dan pengawalan sudah ditambah, untuk menyempurnakan peraturan dalam bidang amaran awal, pencegahan, bantuan kecemasan bencana gempa bumi dan pembangunan pascabencana.
Selain itu, peraturan terperinci tentang prosedur pembangunan pascabencana, pemilihan tempat dan bantuan psikologi juga dimasukkan dalam rang akta tersebut. Chen Jianmin berkata,
"Penempatan sementara merupakan tindakan yang penting untuk memulihkan kehidupan mangsa bencana dan melindungi kastabilan masyarakat, dan juga merupakan kerja asas pembangunan semula. Rang akta tersebut membuka satu bab baru yang khusus menetapkan kaedah penempatan sementara, pemilihan dan penggunaan tempat, tanggungjawab kerajaan dalam penempatan sementara serta pemulihan pengeluaran pertanian dan industri."
Undang-Undang Menangani Bencana Gempa Bumi ini merupakan undang-undang pertama untuk menangani gempa bumi, memiawaikan dan mengatur tindakan masyarakat. Rakyat China berharap kerajaan dapat segera menubuhkan sistem perundangan yang sempurna untuk mengatasi bencana alam.
|