Kerajaan China telah mengeluarkan "Kertas Putih Dasar dan Tindakan China untuk Menangani Perubahan Iklim" di Beijing hari ini. Kertas putih itu menghuraikan kesan negatif perubahan iklim terhadap China, dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk meredakan dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, serta pembinaan sistem yang berkenaan di China. Pegawai yang bertanggungjawab menyatakan bahawa pihak China menyedari betapa penting dan mendesak untuk menangani perubahan iklim ini, dan bersedia untuk mewujudkan pembangunan global yang berterusan bersama-sama dengan negara-negara lain di dunia.
Kertas putih tersebut menunjukkan bahawa pada beberapa tahun kebelakangan ini, China telah berusaha untuk meredakan situasi ini dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. Tindakan yang diambil oleh kerajaan China termasuk menjadikan penjimatan tenaga sebagai dasar utama negara, menguatkuasakan "Pelan Negara untuk Menangani Perubahan Iklim", mengatur semula struktur ekonomi, mengawal pertumbuhan sektor yang menggunakan tenaga yang berlebihan dan mencemarkan alam sekitar, membangunkan tenaga yang boleh dibaharui, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, melaksanakan perlindungan ekologi, dan menubuhkan sistem pemantauan ekologi serta amaran awal terhadap bencana alam.
Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Pejabat Penerangan Dewan Negara hari ini, Naib Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Encik Xie Zhenhua menyatakan bahawa usaha tersebut telah mencapai hasil yang baik. Kata beliau,
"Dalam tempoh dari tahun 1990 hingga 2005, keefisienan tenaga bagi setiap unit Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 47%. Berdasarkan angka ini, kami mengemukakan matlamat, supaya penggunaan tenaga bagi setiap unit KDNK pada tahun 2010 turun 20% berbanding tahun 2005. Penggunaan tenaga bagi setiap unit KDNK pada tahun 2007 telah turun 5.38% berbanding tahun 2005. Ini bermakna, bahawa pelepasan 335 juta tan karbon dioksida telah berkurang."
Kertas putih tersebut menunjukkan bahawa berdasarkan rangka pembangunan yang berterusan, China menganjurkan pelaksanaan "tanggungjawab bersama tapi berbeza", menjadikan "Konvensyen Rangka Perubahan Iklim PBB" (UNFCCC) dan "Protokol Kyoto" sebagai asas undang-undang bagi kerjasama antarabangsa, kebergantungan pada inovasi sains, teknologi dan pemindahan teknologi, mengurangkan peningkatan pelepasan gas rumah hijau, dan mengambil tindakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
Encik Xie Zhenhua menyatakan bahawa negara maju dan membangun bersama-sama bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi meredakan situasi ini dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, tetapi negara maju patut memikul tanggungjawab yang lebih berat. Kata beliau,
"Berdasarkan tuntutan yang dikemukakan dalam UNFCCC dan Protokol Kyoto, negara maju perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau lebih dahulu. Kami berharap negara maju dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau supaya jumlahnya berkurang 25% hingga 40% menjelang tahun 2020 berbanding tahun 1990. Selain itu, kami juga berharap negara maju memikul tanggungjawab yang sewajarnya dalam bidang pemindahan teknologi dan modal. Selepas janji negara maju tentang pemindahan modal dan teknologi ditunaikan, China dan negara-negara membangun juga akan mengambil tindakan untuk mengurangkan peningkatan pelepasan gas rumah hijau."
Beliau menambah bahawa krisis kewangan antarabangsa sekarang tidak akan menjejaskan proses rundingan masyarakat antarabangsa untuk menangani perubahan iklim.
|