Gempa bumi yang berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan provinsi Baluchistan di barat daya Pakistan semalam, mengakibatkan kerugian nyawa dan harta benda yang banyak. Kerajaan Pakistan segera melancarkan usaha menyelamat sebaik sahaja gegaran reda.
Gempa bumi yang berukuran 5.0 pada skala Richter telah berlaku pada pukul 4.33 pagi semalam, ketika orang masih tidur. Kira-kira 40 minit selepas itu, gegaran yang lebih kuat melanda lagi. Gempa yang berukuran 6.5 pada skala Richter itu berpusat di kawasan pergunungan berhampiran Quetta, ibu kota provinsi Baluchistan. Penduduk di bandar Quetta merasai gegaran yang kuat itu, dan beribu-ribu buah rumah runtuh akibat gempa tersebut.
Gempa itu telah mengorbankan nyawa dan kerugian harta benda yang besar. Seorang pegawai tempatan menyatakan bahawa terdapat 46,000 orang penduduk yang tinggal di kawasan yang dilanda gempa itu. Antara kampung-kampung yang terlibat, 8 buah daripadanya merupakan kawasan yang paling teruk ditimpa bencana tersebut. Pengerusi Jabatan Kawalan Bencana Pakistan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan penyelarasan dalam kerja-kerja menyelamat, Farooq Ahmed Khan memaklumkan bahawa seramai 115 orang dikenalpasti terkorban, dan hampir 300 orang lagi cedera dalam gempa ini. Disebabkan ramai lagi yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan, kerja-kerja menyelamat terus dijalankan. Dengan itu juga, jumlah kematian mungkin terus meningkat.
Gempa bumi ini dipandang berat oleh pemimpin-pemimpin peringkat tinggi Pakistan. Presiden, Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani yang sedang melawat Turki menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa gempa ini, dan mengarahkan kerajaan persekutuan dan kerajaan tempatan supaya menyelamatkan mangsa bencana sedapat mungkin dan menyediakan bantuan rawatan kepada mereka yang cedera. Gilani juga mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan pampasan sebanyak 300,000 Rupee kepada anggota keluarga mangsa bencana dan 100,000 Rupee kepada mereka yang cedera dalam gempa ini.
Selepas gempa bumi ini berlaku, kerajaan tempatan dan badan-badan perubatan segera bertindak memulakan kerja-kerja menyelamat. Mereka membina khemah dan menjadikannya hospital sementara di kawasan bencana untuk memberikan khidmat perubatan kecemasan kepada mereka yangcedera parah. Pihak tentera juga menghantar 12 buah helikopter ke kawasan bencana. Menurut Farooq, Jabatan Kawalan Bencana telah memperuntukkan 2000 buah khemah dari bandar Quetta ke kawasan itu. Barang bantuan yang lain sudah diangkut dari Karachi dan ibu negara, Islamabad melalui jalan darat dan udara.
Walaupun kerajaan Pakistan telah berusaha sedaya upaya menjalankan kerja-kerja menyelamat, namun mangsa bencana tetap menghadapi kesulitan. Pertama, mangsa tiada tempat untuk bermalam kerana kebanyakan rumah mereka runtuh dalam gempa ini, dan suhu tempatan pada malam hari telah turun ke bawah sifar. Kedua, gegaran susulan terus berlaku. Batu dan tanah yang runtuh ekoran gegaran susulan ini menjadi ancaman baru bagi mangsa dan anggota penyelamat.
Bencana ini juga menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Selepas gempa tersebut berlaku, Presiden China, Hu Jintao dan Perdana Menteri, Wen Jibao mengutus kawat kepada kerajaan dan rakyat Pakistan untuk menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa bencana. A.S. dan beberapa buah pertubuhan antarabangsa juga menyatakan hasrat untuk memberikan bantuan. Kerajaan India juga segera memberikan reaksi yang positif. Tidak lama selepas gempa bumi tersebut berlaku, kerajaan India menyatakan akan menyediakan bantuan sebagaimana yang diperlukan kepada Pakistan. Persatuan Palang Merah Antarabangsa sudah menghantar dua pasukan untuk mengetahui keadaan dan keperluan mangsa di kawasan bencana. Di bawah pimpinan kerajaan Pakistan dan bantuan masyarakat antarbangsa, rakyat di kawasan bencana dijangka dapat mengatasi kesukaran dan membangunkan semula kampung halaman mereka dengan segera.
|