Perhimpunan Agung PBB ke-63 mengadakan sidang khas di ibu pejabat PBB di New York semalam. Wakil dari pelbagai negara dan ahli-ahli ekonomi ternama telah berbincang tentang kaedah menangani krisis kewangan antarabangsa, terutamanya untuk mengkaji semula sistem kewangan global sekarang. Para peserta berpendapat bahawa pembaharuan perlu dilaksanakan terhadap sistem kewangan antarabangsa sekarang.
Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miguel d' Escoto Brockman menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa mesti membuat pembaharuan yang menyeluruh terhadap sistem kewangan global. Dengan demikian, barulah keyakinan yang hilang ekoran krisis kewangan antarabangsa dapat dipulihkan semula. Beliau berpendapat, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk membincangkan langkah-langkah dalam jangka panjang, bukan hanya membincangkan kaedah jangka pendek untuk melindungi bank-bank, memantapkan pasaran kredit dan menenteramkan pelabur besar.
Brockman menegaskan bahawa sistem kewangan antarabangsa yang sedia ada tidak dapat memperlihatkan sifat golbal dan saling bergantung ekonomi dunia sekarang. Penyelesaian bagi krisis kewangan yang dihadapi oleh seluruh dunia ialah mewujudkan sistem baru yang melibatkan semua negara dalam proses demokratik.
Pemenang hadial Nobel dalam bidang ekonomi yang juga Bekas Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Joseph Stiglitz menyokong pendirian Brockman. Beliau menganggap bahawa "sekaranglah masanya untuk menubuhkan satu lagi Sistem Bretton Woods". Tegasnya, prinsip tentang empat perkara perlu dipatuhi untuk menangani krisis kali ini, iaitu memastikan keadilan dan perpaduan sosial, memastikan kerjasama masyarakat antarabangsa, memastikan keseimbangan yang sepatutnya antara kerajaan dengan pasaran, dan memastikan proses penubuhan yang demokratik dan telus.
Dalam ucapannya, Stiglitz mengkritik tindakan yang salah oleh kerajaan A.S. dan beberapa negara yang lain. Mereka "membiarkan bank berkembang secara membabi buta, sehingga perlu membantunya untuk mengelaknya daripada bankrap". Namun, seluruh dunia terpaksa memikul rangkaian beban ekoran kesalahan itu. Beliau berkata bahawa walaupun negara-negara berkenaan telah mengambil tindakan untuk menyelamatkan sektor perbankan dan sistem kewangan masing-masing, tetapi mereka yang kehilangan hartanah dan peluang kerja tidak mendapat pampasan.
Pasaran baru di dunia sekarang tidak berkait dengan kesalahan yang mengakibatkan krisis kali ini, namun mereka turut dilanda krisis kewangan tersebut. Maka, negara dan kawasan tersebut perlu diberi pertimbangan ketika memilih kaedah menyelesaikan krisis ini. Sistem kewangan global yang sedia ada tidak bermanfaat bagi negara-negara membangun, terutamanya bagi entiti ekonomi yang baru. Keadaan ini perlu diubah.
Para peserta juga mengemukakan pandangan sendiri tentang pembaharuan sistem kewangan antarabangsa sekarang dan pelaksanaan kerjasama pelbagai hala. Wakil Perancis menyatakan bahawa negara-negara di dunia perlu menimbangkan penubuhan sistem kawal selia antarabangsa yang baru, supaya setiap negara yang dilanda oleh krisis kali ini berhak ikut serta dan memikul tanggungjawab sewajarnya.
Para peserta turut menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap sistem kawal selia terhadap pasaran kewangan yang sedia ada. Negara-negara membangun menyeru untuk mewujudkan wahana baru yang dapat menyediakan jaminan dan sokongan terhadap pembangunan ekonomi masing-masing. Para peserta bersetuju agar PBB yang menerajui penubuhan sistem kewangan antarabangsa yang baru.
|