Sidang Perdana Menteri Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-7 telah diadakan di Astana, ibu negara Kazakhstan semalam. Anggota sidang itu telah membincangkan pelbagai kemajuan yang dicapai dalam kerjasama antara negara anggota SCO dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan lain-lain sejak sidang Perdana Menteri SCO yang diadakan pada tahun lalu. Mereka juga meneliti situasi perkembangan ekonomi sejagat dan serantau dan mengemukakan rancangan bagi meningkatkan kerjasama pragmatik antara pelbagai negara anggota. Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang menghadiri sidang tersebut telah mengemukakan cadangan baru tentang usaha meningkatkan kerjasama serantau antara negara anggota SCO.
Wen Jiabao ketika berucap dalam sidang itu menyatakan bahawa pelbagai negara-negara di dunia perlu melaksanakan tindakan bersama bagi mengatasi krisis kewangan pada masa ini. China bersedia terus mempergiat kerjasam dengan negara anggota SCO yang lain dan melaksanakan tindakan dengan bersungguh-sungguh bagi mengurangkan kesan krisis kewangan sedapat yang mungkin. Kata beliau: "China ialah sebuah negara yang bersedia memikul tanggungjawab. Walaupun China juga terasa kesan daripada krisis kewangan global kali ini, namun kami yakin pada kemampuan sendiri dalam usaha menstabilkan pasaran kewangan. Memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan merupakan kaedah yang paling berkesan bagi China dalam menangani krisis kewangan kali ini, dan juga merupakan sumbangan kepada dunia.
Tentang usaha bagi merapatkan hubungan kerjasama pragmatik antara pelbagai negara anggota dan memastikan perkembangan yang sihat bagi SCO, Wen Jiabao telah mengemukakan cadangan dalam beberapa aspek. Kata beliau: "Pertama, terus mempergiat usaha memudahkan perdagangan dan pelaburan serantau dan meningkatkan taraf kerjasama antara negara anggota SCO dalam bidang pelaburan dan projek-projek besar dalam bidang ekonomi dan teknologi. Kedua, merealisasikan rangkaian kemudahan infrastruktur antara pelbagai negara anggota; Ketiga mempergiat kerjasama dalam bidang kewangan dan kalangan syarikat, menambah usaha dalam meneliti situasi ekonomi sejagat dan mengawal selia pasaran kewangan agar meningkatkan kemampuan dalam mencegah dan menangani krisis kewangan. Keempat, melaksanakan kerjasama dalam bidang yang baru secara beransur-ansur."
Di samping itu, Wen Jiabao juga menegaskan bahawa China akan mengekalkan pelaksanaan pembaharuan dan pintu terbuka, dan prinsip pembangunan secara damai. Kata beliau: "China akan terus mengekalkan pelaksanaan pembaharuan dan pintu terbuka dan mempertahankan prinsip pembangunan secara damai serta dasar luar yang bersahabat dengan negara jiran. China bersedia berkongsi peluang dan berusaha bersama-sama dengan negara-negara serantau, mengatasi kesukaran dan memberikan sumbangan kepada kedamaian dan perkembangan serantau."
Dalam sidang akhbar selepas persidangan itu, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin menyatakan bahawa pelbagai pihak telah menetapkan hala tuju perkembangan kerjasama negara anggota SCO dalam bidang ekonomi, perdagangan dan kebudayaan. Kata beliau: "Semua negara anggota SCO dan negara pemerhati telah mengemukakan cadangan mereka yang positif dan melahirkan hasrat untuk mengurangkan kesan krisis kewangan global kepada tahap minimun. Mengintensifkan kerjasama yang pragmatik antara pelbagai negara anggota, terutamanya kerjasama dalam projek-projek yang besar amat berfaedah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serantau yang mapan.
|