v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Usaha China Melindungi Persekitaran dalam Melaksanakan Projek Tiga Gaung Sungai Yangtze Mendapat Pengiktirafan Ramai

2008-11-03 17:07:21 CRI

Projek Tiga Gaung Sungai Yangtze China, satu projek tali air yang terbesar di dunia, yang proses pembinaannya mengambil masa selama 16 tahun, akan selesai menjelang penghujung tahun ini. Baru-baru ini, seramai 130 orang wakil dari 18 buah negara termasuk China, Rusia, A.S. dan Jerman telah menyaksikan perkembangan projek ini dan mengadakan perbincangan mengenai penerokaan dan perlindungan sumber air. Kerja-kerja melindungi persekitaran yang dilakukan oleh kerajaan China dalam menjayakan projek tersebut telah mendapat pengiktirafan yang meluas daripada para peserta.

Projek Tiga Gaung, yang terletak di persimpangan hulu Sungai Yangtze dan di tengahnya, merupakan projek utama yang berfungsi untuk membaik pulih dan meneroka sungai tersebut. Kecekapan projek ini dapat dilihat dari tiga fungsinya, iaitu mencegah banjir, menjana kuasa elektrik dan memudahkan pengangkutan. Walau bagaimanapun, kesan negatif pada alam sekitar ekoran projek ini tidak dapat dielakkan. Encik Zhu Chunquan dari cawangan Tabung Alam Sedunia di China menyatakan: "Projek ini pasti akan memberikan sedikit sebanyak impak kepada aliran air Sungai Yangtze dan haiwan akuatik di dalamnya. Selepas Empangan Tiga Gaung berjaya menakung air, endapan lumpur yang terjadi di hilir sungai tersebut juga akan memberikan kesan kepada Delta Sungai Yangtze."

Menurut beliau, Tabung Alam Sedunia prihatin terhadap kesan negatif pada alam sekitar ekoran Projek Tiga Gaung tersebut. Namun, pertubuhan ini amat menyokong usaha meneroka sumber air. Tenaga elektrik yang dijana oleh projek tersebut setiap tahun sama dengan tenaga yang dihasilkan oleh 50 juta tan arang batu. Beliau mencadangkan bahawa kerja melindungi sumber air perlu dijalankan sekali gus.

Encik Cao Guangjing yang menguruskan Projek Tiga Gaung ini menyatakan bahawa pihaknya amat memberikan perhatian kepada usaha melindungi alam sekitar dalam proses menjayakan projek tersebut. Pada peringkat awal pembinaan, sistem pemantauan terhadap ekologi dan persekitaran yang melibatkan jabatan tali air, jabatan pertanian dan jabatan meteorologi telah ditubuhkan. Inilah satu-satunya jaringan pemantauan yang komprehensif di China. Encik Cao berkata: "Sebelum Empangan Tiga Gaung menakung air, kami memperuntukkan dana sebanyak 10 bilion yuan RMB untuk mengadakan tinjauan ke kawasan sekitarnya. Selain itu, kami juga menyusun rancangan yang terperinci untuk mengawal dan mencegah pencemaran air. Untuk menghalang hakisan daripada terus berlaku di kawasan hulu Sungai Yangtze, zon penampan hutan sedang dibina."

Kesemua kerja perlindungan tersebut telah mendapat pujian daripada tokoh-tokoh pencinta alam sekitar dari luar negara. Encik Zhang Shuang dari Persatuan Perlindungan Alam Sekitar A.S. menyatakan: "Syarikat Projek Tiga Gaung memperuntukkan sebanyak 400 juta hingga 800 juta yuan RMB untuk menjayakan program perlindungan alam sekitar. Saya rasa, sumbangan yang diusahakan oleh syarikat ini amat bererti."

Pencinta alam sekitar dari luar negara juga menceritakan pengalaman masing-masing tentang kaedah menguruskan projek tali air, dan menyatakan kesediaan mereka untuk meningkatkan kerjasama dengan China dalam usaha melindungi persekitaran di kawasan Sungai Yangtze.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |