Menteri-menteri kewangan dari 15 buah negara dalam kawasan Euro telah memulakan sidang yang berlangsung selama dua hari di Brussels semalam. Menurut laporan ramalan ekonomi musim gugur yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kesatuan Eropah (EU), selepas kemerosotan ekonomi pada suku kedua tahun ini, keadaan ini dijangka akan berterusan di 15 buah negara dalam kawasan Euro pada suku ketiga dan keempat tahun ini secara berasingan. Dengan itu, ekonomi kawasan Euro akan jatuh ke tahap merosot. Menurut pandangan penganalisis, tindakan dan langkah bersama untuk meringankan tekanan krisis ekonomi sekarang akan menjadi topik utama dalam sidang Menteri Kewangan Kawasan Euro ini.
Menurut laporan tersebut, kadar peningkatan KDNK di kawasan Euro dalam tempoh 9 bulan yang lalu terus menerus menyusut. Di samping itu, kadar peningkatan ekonomi kawasan Euro tahun 2009 pula dijangka hanya 0.1% sahaja dan mungkin meningkat sedikit pada tahun 2010. Selain itu, menurut ramalan laporan tersebut, pada tahun 2009, situasi ekonomi di kuasa-kuasa besar dalam bidang ekonomi, termasuk Jerman, Perancis dan Itali dijangka tidak akan mengalami pertumbuhan. Manakala ekonomi Sepanyol dan negara bukan kawasan Euro, iaitu Britain dijangka akan merosot. Jawatankuasa EU juga meramalkan bahawa ekonomi sedunia akan meningkat 3.7% tahun ini, namun kadar peningkatannya pada tahun depan akan merosot hingga 2.3%. Ekonomi A.S. dan Jepun diramalkan akan mengalami kemerosotan pada tahun hadapan.
Menurut laporan tersebut, prospek ekonomi EU kurang memuaskan. Anggota Jawatankuasa EU yang bertanggungjawab bagi bidang ekonomi dan kewangan, Joaquin Almunia semalam menyatakan bahawa prospek ekonomi EU ini tidak cerah akibat pengaruh negatif krisis kewangan seluruh dunia. Situasi dalam pasaran kewangan kurang stabil dan krisis kewangan ini jauh daripada berakhir. Menurut beliau, krisis kewangan telah mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi makro di beberapa buah negara anggota EU. Maka, negara anggota EU perlu mengambil langkah ekonomi bersama untuk menghadapi krisis ini.
Sidang Menteri Kewangan Kawasan Euro merupakan sidang kali kedua yang diadakan oleh Menteri Kewangan negara-negara kawasan Euro selepas pergolakan kewangan berlaku di dunia. Perancis, negara pengerusi bergilir EU semalam mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Kewangan 27 buah negara EU akan terus membincangkan beberapa masalah mengenai krisis kewangan dan pembaharuan sistem kewangan antarabangsa hari ini. Selain itu, mereka juga akan menyelaraskan pendirian negara anggota EU untuk mewujudkan tatacara baru dalam bidang kewangan antarabangsa dan membincangkan perincian cadangan yang berkaitan.
Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis yang menghadiri sidang tersebut, Puan Christine Lagarde semalam menyatakan beliau akan berusaha mendorong EU meluluskan plan pemulihan bersama bagi menyelamatkan entiti ekonomi dalam menghadapi tekanan terhadap ekonomi di Eropah akibat krisis kewangan global ini.
|