Presiden Rusia, Dmitri Medvedev telah menyampaikan perutusan kedudukan negara di Parlimen semalam. Ini merupakan kali pertama Medvedev menyampaikan perutusan kedudukan negara sejak beliau menjawat jawatan Presiden dan juga merupakan kali ke-15 Presiden Rusia menyampaikan perutusan tersebut dalam sejarah negara itu. Selepas berlakunya konflik antara Rusia dengan Georgia pada tahun ini, hubungan antara Rusia dengan negara-negara barat menjadi dingin. Dengan keadaan tersebut, ditambah oleh situasi kewangan antarabangsa yang terus bergolak sekarang ini, perutusan kedudukan negara yang disampaikan oleh Medvedev ini memang menarik perhatian umum.
Menurut Perlembagaan Persekutuan Rusia, Presiden Rusia perlu menyampaikan perutusan kedudukan negara di Parlimen tentang situasi dalam negaranya serta dasar dalam dan luar negara itu setiap tahun. Lazimnya upacara ini diadakan di Dewan Marmar dalam Istana Kremlin. Namun, kali ini Medvedev memilih Dewan Georgi, iaitu tempat berlangsungnya upacara angkat sumpah ketika beliau menyandang jawatan presiden, untuk menyampaikan perutusan tersebut. Antara yang hadir pada upacara kali ini termasuklah Perdana Menteri, Viladimir Putin, Pengerusi Jawatankuasa Persekutuan Rusia, Sergi Mironov, Pengerusi Duma Negara, Boris Gryzlov dan wakil-wakil lain yang berjumlah lebih 800 orang.
Krisis kewangan sejagat yang menjadi perhatian umum sekarang ini, dan situasi antarabangsa selepas berlakunya konflik antara Rusia dengan Georgia merupakan kandungan utama dalam perutusan kedudukan negara Rusia itu.
Tentang krisis kewangan sejagat yang berlaku sekarang ini, Medvedev menyatakan bahawa sistem politik dan ekonomi antarabangsa yang sedia ada perlu dibaharui secara menyeluruh. Rusia akan membina pusat kewangan antarabangsa melalui penyusunan undang-undang. Beliau juga berharap aktiviti perdagangan petroleum dan gas asli dibayar dengan mata wang Ruble. Menurut beliau, Rusia akan berusaha mengatasi kesan negatif daripada kemelesetan ekonomi antarabangsa dan memajukan negaranya supaya lebih kuat.
Mengenai konflik yang berlaku antara Rusia dengan Georgia pada bulan Ogos lalu, Medvedev membidas A.S. dan NATO yang mengamalkan sikap dwistandard dalam masalah Kosovo dan Ossetia Selatan. Beliau mengecam tindakan A.S. yang menempatkan sistem anti-peluru berpandu di Eropah Timur dan kegiatan peluasan NATO. Beliau menyatakan bahawa Rusia akan mengambil tindakan balas terhadap perkara tersebut, antaranya termasuklah Rusia akan menempatkan sistem peluru berpandu "Iskander" di Kaliningradskaya. Selain itu, Medvedev menyatakan bahawa tindakan yang konkritperlu diambil untuk meningkatkan keselamatan sejagat dan memperkukuh asas undang-undang mengenai hubungan antarabangsa, juga untuk membina pelbagai pusat di beberapa rantau dalam hubungan antarabangsa kerana dunia tidak boleh dikuasai oleh satu negara sahaja.
Ketika menyentuh tentang hubungan antara Rusia dengan A.S., Medvedev menyatakan harapan agar presiden A.S. yang baru melaksanakan dasar untuk memperkukuh hubungan dengan Rusia. Beliau menyatakan bahawa hubungan rakyat kedua-dua negara tidak mengalami sebarang masalah. Rusia juga berharap agar kerajaan A.S. yang baru mengambil tindakan yang memanfaatkan perkembangan hubungan kedua-dua negara.
Medvedev dalam perutusan tersebut juga menekankan isu rasuah. Beliau menyatakan bahawa rasuah ialah "musuh utama" bagi negaranya. Kerajaannya perlu menggiatkan tindakan anti-rasuah dengan mengambil langkah pencegahan seperti membentuk sistem pemantauan harta benda yang ketat. Selain itu, Medvedev juga mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan presiden dipanjangkan kepada enam tahun daripada empat tahun sekarang ini, manakala tempoh perkhidmatan anggota Duma Negara dipanjangkan kepada lima tahun daripada empat tahun sekarang. Beliau juga mencadangkan supaya kuasa parlimen ditingkatkan agar Duma Negara dapat mengawasi operasi kerajaan.
|