Masyarakat antarabangsa digesa meningkatkan kerjasama untuk menangani perubahan iklim ketika krisis kewangan sejagat bertambah buruk sekarang. Perkara ini terkandung dalam ucapan Perdana Menteri Wen Jiabao yang disiarkan akhbar Renminribao hari ini. Ucapan itu disampaikan dalam satu mesyuarat peringkat tinggi tentang pembangunan dan pemindahan teknologi untuk mengatasi masalah akibat perubahan iklim pada 7 November lalu.
Wen Jiabao menyatakan walaupun China sekarang berada pada tempoh perkembangan sektor perindustrian yang amat pesat, tetapi pelepasan gas rumah hijau per kapita tidak sampai 1/3 berbanding pelepasan negara maju. Kerajaan China akan mempromosikan kaedah pengeluaran, cara hidup dan perbelanjaan yang menjimatkan penggunaan tenaga dan mesra alam ke arah mewujudkan masyarakat yang berkembang secara berterusan yang kehidupan penduduknya lumayan dan keadaan alam sekitarnya terpelihara.
Menurut Wen Jiabao, negara-negara maju perlu mengubah cara perbelanjaan mereka yang tidak berfaedah bagi pembangunan berterusan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta membantu negara-negara membangun ke arah pembangunan berterusan. Di samping itu, mereka hendaklah berusaha mewujudkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan usaha menangani perubahan iklim.
|