v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Syarikat-syarikat China Proaktif Hadapi Krisis Kewangan

2008-11-21 17:03:26 CRI

Masa menjelangnya Hari Natal biasanya merupakan musim paling sibuk bagi syarikat pengeluar alat mainan di China. Namun, tempahan dari seberang laut terhadap beberapa jenis produk buatan China seperti alat mainan, barangan tekstil dan kasut menjadi berkurangan pada tahun ini akibat krisis kewangan sejagat. Oleh yang demikian, syarikat-syarikat China telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk menangani masalah tersebut.

Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Pentadbiran Kastam China pertumbuhan eksport beberapa jenis barangan utama telah menurun dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini. Antaranya, pertumbuhan eksport bagi pakaian menurun 20%, dan barangan plastik pula menurun 6%.

Bandar Dongguan yang terletak di pesisir pantai selatan China terkenal dengan industri pembuatan dan perdagangan luar. Namun, pada bulan Oktober lalu, pertumbuhan jumlah eksportnya didapati menurun buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun lalu. Encik Bei Youping, Pengurus Besar sebuah syarikat pembuatan kasut di sana memberitahu wartawan bahawa jumlah keuntungan yang diperoleh oleh syarikatnya kini menurun dengan ketara. Katanya: "Pada masa dahulu, kami boleh mendapat keuntungan antara 1.3 hingga 1.5 dolar Amerika daripada sepasang kasut. Namun, keuntungan ini sekarang, telah menurun kepada 60 sen hingga 1 dolar Amerika sahaja."

Walau bagaimanapun, sesetengah syarikat China telah berjaya mengekalkan jumlah jualan mereka walaupun pasaran menghadapi kelembapan pada keseluruhannya. Encik Zhang Huarong, Ketua Pengarah Kumpulan Huajian yang merupakan syarikat gergasi dalam pembuatan kasut wanita di China memaklumkan bahawa jumlah keuntungan syarikatnya telah meningkat 5% berbanding dengan masa yang sama tahun lalu. Menurut Encik Zhang Huarong, hasil ini dicapai kesan peningkatan keefisienan dalam proses pengeluaran dan pengurusan syarikatnya. Kata beliau: "Syarikat kami memperoleh keuntungan yang agak baik sebelum tahun 2006.Namun, sekarang kami perlu mengawal kos pengeluaran dengan ketat bagi mengekalkan keuntungan ketika dilanda krisis kewangan. Saya rasa ini juga satu peluang untuk meningkatkan tahap keefisienan syarikat kami."

Di samping itu, beberapa syarikat pengeluar alat mainan juga berusaha meningkatkan prestasi produk mereka melalui usaha inovasi teknologi. Tindakan tersebut membantu mereka mengekalkan jumlah penjualan. Ketua Setiausaha Persatuan Alat Mainan di bandar Dongguan, Encik Chen Xiangyou berkata: "Perusahaan membuat alat mainan di China berkembang kerana kos tenaga kerja yang murah dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Bagaimanapun, sekarang ini, tiba masanya untuk meningkatkan tahap teknologi dalam proses pengeluaran mereka."

Menteri Perdagangan China, Chen Demin menyatakan bahawa beliau yakin syarikat-syarikat China dapat melalui tempoh krisis kewangan kali ini. Kata beliau: "Kini, syarikat-syarikat China sudah cukup matang dalam menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran dan meneroka pasaran baru. Saya yakin mereka pasti dapat menghadapi krisis kewangan dengan baik dan merealisasikan perkembangan yang lebih baik pada masa akan datang.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |