Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk menambah sekitar 3000 lagi anggota pengaman ke Republik Demokratik Congo.
Demikian dinyatakan dalam resolusi No. 1843 yang diluluskan sebulat suara oleh Majlis Keselamatan PBB semalam.
Menurut resolusi itu, 2785 anggota tentera dan 300 polis pengaman akan ditambah kepada misi PBB yang terdiri daripada 17,000 orang di negara itu.
Resolusi tersebut menyebut, tujuan menambah pasukan pengaman di negara itu untuk meningkatkan keupayaan misi PBB dalam menjamin keselamatan orang awam, menyusun semula struktur misi PBB dan mengatur semula penempatan tentera pengaman.
Majlis Keselamatan PBB menyatakan tempoh perkhidmatan bagi anggota pengaman tambahan tersebut akan tamat pada 31 Disember. Bagaimanapun, tempoh tersebut mungkin dilanjutkan berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di bahagian timur negara itu.
|